Bukan itu sahaja, Ramlah Md. Jalee, 62, turut berjaya meningkatkan pencapaian diri dengan menyambung pengajian ke Amerika Syarikat (AS) dalam Sarjana Komunikasi.

Kata Ramlah yang berasal dari Pendang, Kedah, anak sulung lelakinya berusia 32 tahun, bekerja sebagai ahli perniagaan diikuti anak keduanya berusia 30 tahun sebagai artis dan ketiga, 25 tahun, baru menamatkan pengajian peringkat sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan.

“Dengan keadaan saya yang tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda, memanglah satu cabaran yang besar untuk menguruskan anak-anak semasa kecil.

“Saya terpaksa membawa anak-anak ke rumah pengasuh dengan kereta kerana saya bekerja manakala suami pula ahli perniagaan (telah meninggal dunia pada 2015) kerap ke luar daerah,” katanya.

Berikutan kecekalannya itu, beliau diberikan Anugerah Ibu Gemilang bagi Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan 2018, Bertemakan Ibu dan Bapa Anugerah Terindah yang dihadiri lebih 1,000 ibu dan bapa dari seluruh negara di sini hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis tersebut.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isterinya, Datin Seri Nor Aswana Omar.

Dalam pada itu, Anugerah Bapa Inspirasi bagi Kategori Bapa Tunggal pula diberikan kepada Yahaya Md. Arif kerana walaupun tidak dapat bertutur dan mendengar tetapi mampu memberikan pendidikan sempurna dan membesarkan anak-anak sehingga dewasa.

Menurut anak sulungnya, Siti Nur Nabilah, 26, yang bekerja sebagai pelukis pelan, cabaran paling sukar dilalui dan tiga adiknya adalah apabila hendak menyampaikan sesuatu perkara di sekolah kepada bapanya itu.

“Kami terpaksa menggunakan bahasa isyarat dan reaksi muka sehinggalah bapa faham kerana bapa juga tidak boleh membaca dan menulis.

“Paling saya terharu adalah bapa pada setiap malam akan membelai kami sebelum masuk tidur dan rutin itu dilakukan sehinggalah kami dewasa,” katanya yang berasal dari Bagan Serai, Perak.

Tambahnya lagi, ibunya yang juga OKU telah meninggal dunia sejak 15 tahun lalu dan sehingga kini bapanya itu tidak berkahwin lain. - UTUSAN ONLINE