Program Ziarah Kasih Kemudi tersebut diketuai Presiden Kemudi yang juga Ketua Biro Utusan Kelantan, Azran Fitri Rahim.

Antara yang dilawati ialah bekas wartawan Berita Harian, Azman Mahmood; bekas jurugambar The Star, Sazuki Embong dan bekas jurugambar Utusan Malaysia, Mat Saod Mamat.

Turut diziarahi ialah keluarga Allahyarham jurukamera sambilan RTM, Ahmad Norzaki Mohd. Noor yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Ogos tahun lalu.

Rombongan Kemudi berkenaan juga disertai pengasas produk kecantikan tempatan, Sue Beauty iaitu Nor Haslinda Inche Mat yang turut bermurah hati menaja hamper untuk disumbangkan kepada mereka yang dilawati.

Sementara itu, Azran berkata, program Ziarah Kasih Kemudi kali ini memilih bekas petugas media untuk disantuni sebagai tanda ingatan Kemudi terhadap mereak di samping memastikan silaturahim yang pernah terjalin dapat dieratkan kembali.

"Mereka yang kami ziarahi ini merupakan rakan sejawat yang pernah berkhidmat bersama dan kami pernah berkongsi suka duka dalam bidang kewartawanan.

"Insya-Allah program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kami bagi pihak Kemudi juga mengucapkan terima kasih kepada Sue Beauty kerana sudi menjadi penaja," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE