Nur Zetty Muhammad Zakri, 10, atau lebih mesra dengan panggilan Yayang kini terlantar lumpuh di rumah sejak tujuh tahun lalu.

Ibunya, Zahrah Mohd. Jamian, 32, memberitahu, anak sulung daripada lima adik-beradik itu mula sakit sewaktu berusia tiga bulan dan dari saat itu dia sering dimasukkan ke Unit Ra­watan Rapi (ICU) akibat sera­ngan sawan.

Jelas Zahrah, mulanya agak sukar untuk diterima anak yang dahulunya aktif seperti kanak-kanak lain, kini tidak mampu bergerak seperti dahulu.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur apabila terpilih untuk menerima bantuan daripada Kumpulan Utusan yang menghadiahkan ‘standing frame’ bagi memudahkan rawatan fisioterapi Yayang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, syarikat itu sentiasa memantau keada­an masyarakat sekeliling yang kurang bernasib baik.

“Ini adalah salah satu kes yang diketengahkan kepada kita, selepas dinilai daripada beberapa kes yang lain, kami membuat keputusan untuk membantu adik Yayang.

“Sumbangan ‘standing frame’ yang kita berikan ini bertepatan dengan keperluan Yayang dan saya berharap dengan bantuan ini, ia membantu sedikit seba­nyak meringankan beban yang ditanggung mereka,”jelasnya.

Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Ekse­kutif Yayasan Kum­pulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh.

Sementara itu, bapa Yayang, Muhammad Zakri Saimon, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Ampang menjelaskan bahawa kekurangan yang terdapat anaknya itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki bagi mene­ruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

“Walaupun hanya berpendapatan RM1,800 sebulan, namun saya akan sentiasa bekerja keras demi memastikan keluarga saya terus berada dalam keadaan selesa dan gembira,” ujarnya.