Namun tidak bagi pasangan pengantin remaja Orang Asli, Muhammad Azman Idul dan Rohasimah Rahim. Menerusi aplikasi WeChat mereka bertemu, berkenalan sebelum mengikat tali pernikahan yang sah.

Pekenalan dengan Rohasimah yang berketurunan Temuan beragama Islam di WeChat, turut membawa Muhammad Azman yang berketurunan Mahmeri dan mengamalkan kepercayaan animisme kepada Islam.

Orang Asli

Kedua-dua mereka masing-masing berusia 17 tahun itu dinikahkan dalam satu majlis melibatkan 11 pasangan Orang Asli di Surau Perkampungan Orang Asli Sungai Lalang, Semenyih, Selangor pagi tadi.

Usia yang muda tidak sekali-kali menjadi alasan bagi Muhammad Azman yang tinggal di Banting dan Rohasimah yang tinggal di Broga untuk melambatkan perkahwinan.

"Saya hanya terfikir untuk berumah tangga dan hanya itu sahaja cara untuk mengelak daripada melakukan perkara tidak elok. Sebab itu saya mahu bernikah.

"Tambahan Rohasimah beragama Islam dan saya hormat orang Islam. Semasa melamar Rohasimah saya tanya dia bagaimana mahu memeluk Islam. Saya peluk Islam dengan rela hati dan ibu bapa saya membenarkan saya memeluk Islam," cerita Muhammad Azman.

Orang Asli

Muhammad Azman yang merupakan anak tunggal dan bekerja kampung berkata, dia terlebih dahulu menegur Rohasimah di WeChat untuk berkenalan.

Selepas berbual selama lebih sebulan dalam aplikasi sosial itu mereka memutuskan untuk berjumpa.

"Mula-mula kenal saya ajak jumpa di kampung dia. Saya datang naik motor berjumpa mak ayah dia untuk minta izin untuk keluar. Mak ayah dia benarkan.

"Kami pergi ke Seremban dan kami balik awal seperti yang diminta oleh ibu bapa Rohasimah. Saya suka Rohasimah sebab dia manja dan sedikit mengada-ngada," jelas Muhammad Azman tersenyum.

Orang Asli

Sementara Rohasimah yang merupakan anak kelima dari tujuh beradik berkata, mereka yang menggunakan aplikasi WeChat perlu menjaga adab ketika berbual dengan orang yang tidak dikenali.

"Kita nak guna Wechat kena jaga adab. Maruah dan aib diri serta keluarga kena jaga," kata Rohasimah.

Menurut Rohasimah, beliau menerima lamaran Muhammad Azman kerana perilakunya yang baik, bertanggung jawab serta setia.

Rohasimah berkata, beliau dan suami akan selalu menghadiri kelas yang disediakan oleh Pejabat Agama Hulu Langat bagi mendalami Islam.

Orang Asli

Majlis pernikahan beramai-ramai yang disertai Muhammad Azman dan Rohasimah turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess).

Seramai 10 pasangan Orang Asli sebelum itu menghadiri perbicaraan 'mahkamah terbuka' dengan enam kes wali raja dan empat kes pasangan bawah umur sebelum dibenarkan untuk bernikah.

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Jakess, Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar dan Pengawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat, Hariffuddin Roslan.- UTUSAN ONLINE