Namun tidak semua orang bernasib baik dan berkemampuan untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri sama ada bagi diri sendiri mahupun untuk keluarga.

Oleh itu apabila ada pihak-pihak yang berkemampuan menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk meringan beban golongan ini menyambut Aidilfitri, ia sangat dihargai dan disambut dengan linangan ait mata yang bukan sahaja tand a terharu tetapi juga sebagai tanda terima kasih kepada pihak yang sudi berbuat demikian.

Itu perasaan seorang warga emas yang tidak dapat menahan sebak kerana terharu apabila menerima pelbagai bantuan barangan keperluan asas daripada UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan hari ini.

Abdul Kadir Ibrahim, 71, yang hadir bersama cucunya, Muhamad Azli Adli, 13, tidak dapat menahan rasa terharu lantas menangis saat menerima bantuan tersebut.

“Sebelum ini, saya yang selalu tolong orang, tetapi bila saya susah, orang pula tolong saya.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada program pengagihan barangan keperluan tersebut di Tapak Pasar Malam Ahad, Taman Medan di sini hari ini.

Dalam keadaannya yang bertongkat, dia dilihat beratur panjang bersama cucunya untuk membeli jualan barangan murah tersebut yang dianjurkan oleh UMNO bahagian tersebut.

Menyedari keadaan Abdul Kadir dan cucunya itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Mutalif Abdul Rahim telah menariknya ke sisi untuk diberikan sumbangan barangan keperluan untuk meringankan bebannya menyanbut Aidilfitri nanti.

Antara barangan keperluan asas yang diterima adalah beras, minyak masak, telur, tepung dan gula. - UTUSAN ONLINE