Demikian kata usahawan orang kurang upaya (OKU), Nor Samawati Mahmud, 33, lebih mesra dipanggil Kak Long yang seolah-olah tidak percaya apabila tiba di ibu negara hari ini.

Sementara itu menurut ibunya, Saudah Shaari, 55 anak sulungnya itu tidak lena tidur sejak beberapa hari lalu selepas mengetahui impian untuk melawat ibu negara bakal menjadi kenyataan.

“Dalam perjalanan tadi selama lima jam pun dia langsung tidak tidur dan hanya tersenyum sepanjang perjalanan.


Video Oleh NUR AZREEN ARIFIN

“Sejak beberapa hari lalu, Kak Long tak boleh lelap mata kerana tidak percaya impian untuk datang ke Kuala Lumpur menjadi kenyataan dan semua kelengkapan dia sudah siapkan sendiri,” katanya ketika ditemui semasa melawat Ibu pejabat Utusan Me­layu (M) Berhad di sini, hari ini.

Kedatangan Kak Long yang ditemani kedua ibu bapa dan seorang adik lelakinya disambut sendiri oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan warga kerja Kumpulan Utusan dalam satu majlis ringkas.

Kedatangan Kak Long ke Kuala Lumpur ditaja sepenuhnya oleh Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi merealisasikan impiannya melihat KLCC selain menyediakan penginapan di Hotel Mandarin Orien­tal sepanjang dua hari berada di sini.

Ketabahan usahawan cekal yang membantu ibunya berniaga kicap dan sos mula tular dalam media sosial selepas video bertajuk Dengan Lidah, Kak Long Harap Bantu Bisnes Ibu disiarkan di Utusan Online.

Dengan kemahiran itu, dia cuba mempromosi perusahaan membuat sos dan kicap milik ibunya di media sosial sejak beberapa tahun lalu.

Video tersebut tular dan ditonton lebih 934,000 orang dengan jumlah perkongsian 9,300 selepas disiarkan pada 15 Janua­ri lalu.

Esok, Kak Long akan dibawa melawat KLCC dan Aquaria bagi merealisasi impiannya sejak 20 tahun lalu sebelum bertolak pulang ke kampung halaman di Pendang, Kedah.

Saudah menambah, anak sulung daripada lima beradik yang dilahirkan cacat itu tidak pernah dihantar ke sekolah, namun dia berminat dengan buku dan boleh menulis serta membaca melalui pemerhatian.

“Memandangkan keadaan dia tidak sempurna, kami tidak pernah hantar dia ke sekolah tetapi Kak Long seorang yang rajin dan selalu meminta adik-adiknya mengajar dia membaca sehingga dia mampu membaca dengan lancar,” ujarnya yang menguruskan sendiri keperluan anak istimewa itu.