Seawal pukul 6 pagi, kelihatan para penduduk setia menanti ketibaan pemimpin nombor dua negara itu, sekali gus tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman dan bersarapan bersama.

Timbalan Perdana Menteri tiba di tapak pasar tamu pada pukul 9 pagi diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Pemangku Pre­siden Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili serta Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.

Selepas 20 minit bertemu rak­yat di pasar tamu, Ahmad Zahid kemudian bersarapan bersama penduduk di Gerai Makan dan Minum Sri Rezeki di sini.

Antara hidangan yang dijamah Timbalan Perdana Menteri ialah nasi lemak, jagung, pisang rebus dan ubi kayu bersama teh kosong.

Pemilik Gerai Makan dan Minum Sri Rezeki, Saniah Achil, 63, menyifatkan kesudian Timbalan Perdana Menteri bersarapan di gerainya merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan.

Katanya, dia memilih untuk menghidangkan makanan tradi­sional seperti ubi kayu, pisang rebus dan jagung yang merupakan makanan tradisi masyarakat Kota Marudu.

“Saya sangat gembira apabila Timbalan Perdana Menteri memilih untuk bersarapan di gerai saya walaupun saya baru saja mula berniaga sejak tujuh bulan lalu.

“Lebih membanggakan apabila beliau memuji masakan dan hidangan yang disajikan enak-enak belaka,” katanya yang mula menyediakan juadah untuk sarapan sejak pukul 6 pagi.