Ada di antara mereka terpaksa menutup kedai sehingga bekalan air pulih seperti sedia kala kerana tidak dapat menyediakan tadahan air yang mencukupi bagi menampung keperluan pelanggan.

ABDUL HALIM HANAFI
ABDUL HALIM HANAFI

Menurut seorang peniaga di Pangsapuri Desa Lembah Permai di Bukit Belacan, Ampang, Abdul Halim Hanafi, dia terpaksa menutup kedainya esok sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Saya sedia maklum yang hari ini sehingga Jumaat nanti bekalan air terputus dan saya sudah pun membuat persediaan awal.

“Tetapi tadahan air yang saya ada nampak gayanya hanya cukup untuk kegunaan hari ini sahaja. Esok, terpaksalah saya tutup kedai sebab ketiadaan air.

“Kita berniaga kedai makan macam ini biasalah. Pinggan dan cawan kena cuci. Apabila air terhad pastinya pinggan dan cawan tidak dapat dicuci dengan sempurna. Jadi, saya ambil langkah, lebih baik tutup kedai,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di sini, hari ini.

ZULKIFLI IBRAHIM
ZULKIFLI IBRAHIM

Sementara itu, seorang pemilik restoran, Zulkifli Ibrahim, 48, berkata, pihak berkuasa sepatutnya menutup bekalan air secara berperingkat-peringkat atau menyediakan bekalan air yang secukupnya bagi menampung keperluan rakyat sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.

“Seluruh negeri tiada air. Kalau berperingkat-peringkat bolehlah sesiapa yang ada saudara-mara di tempat lain atau yang berdekatan untuk tumpang mandi dan sebagainya.

“Macam saya berniaga kedai makan, air sememangnya satu keperluan untuk memenuhi kehendak pelanggan. Selain itu, aspek kebersihan pun saya kena jaga juga.

“Tetapi apabila bekalan air sudah terputus, macam mana hendak tekankan aspek kebersihan,” luahnya. - UTUSAN ONLINE