Tiada air, lif pula rosak
BAGAI jatuh ditimpa tangga, sudahlah terputus bekalan air, lif pula rosak di Blok B2 Pangsapuri Desa Lembah Permai di Bukit Belacan, Ampang. - UTUSAN ONLINE

Ruang rumah yang terhad dan kecil seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) menyukarkan mereka untuk menyediakan tadahan air lebih awal bagi menampung keperluan disebabkan ganguan bekalan bermula hari ini sehingga 9 Mac nanti.

Sejak malam tadi, penduduk PPR terputus bekalan air dan ada antara mereka tidak sempat membuat persediaan kerana bekalan putus lebih awal daripada masa yang diumumkan oleh pihak Syabas.

MUHAMMAD ZAHID RAMLI
MUHAMMAD ZAHID RAMLI

Salah seorang penduduk Pangsapuri Desa Lembah Permai di Bukit Belacan, Ampang, Muhammad Zahid Ramli, 21, berkata, sejak malam tadi, bekalan air terputus di blok yang dihuni.

“Bayangkan betapa sukarnya situasi saya semalam. Saya bekerja dan pulang lewat. Sebaik sahaja tiba di rumah, bekalan air sudahpun terputus.

“Mujur saya menadah air awal-awal lagi tetapi tadahan ini cuma cukup sehingga hari ini. Tidak sangka pula bekalan air terputus sejak tengah malam tadi,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Online hari ini.

 

MUHAMMAD NADRA MUHAMMAD MAKMAK
MUHAMMAD NADRA MUHAMMAD MAKMAK

Sementara itu, Muhammad Nadra Muhammad Makmak, 60, berkata, tadahan air yang dibuatnya sebelum ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan sehingga gangguan berakhir nanti.

“Saya terpaksa mengambil air dari mata air dekat bukit belakang pangsapuri ini sebagai bekalan tambahan.

“Rumah ini tidak mempunyai ruang yang luas. Jadi, saya tidak boleh menyimpan air banyak-banyak. Saya terpaksalah turun untuk mengambil air dekat sini iaitu daripada punca mata air.

“Setakat ini, sudah dua kali saya turun naik untuk ambil air. Nanti saya akan turun ambil air lagi untuk kegunaan petang ini dan esok pula,” ujar warga emas ini.

MISTU SAPROLI
MISTU SAPROLI

Seorang lagi penduduk, Mistu Saproli, 50, memberitahu, keadaan menjadi lebih buruk apabila hanya satu lif sahaja yang berfungsi di pangsapuri berkenaan.

“Apabila bekalan air terputus, saya terpaksa membeli air dalam botol untuk minuman dan mengambil air dari tempat lain untuk keperluan harian.

“Lebih teruk lagi, apabila penduduk di Blok B2 Pangsapuri Desa Lembah Permai terpaksa menunggu lama atau naik tangga untuk pulang ke rumah kerana hanya satu lif sahaja yang berfungsi manakal lif yang satu lagi itu, sudah berbulan rosak tetapi tidak dibaiki,” katanya dalam nada kesal.

Tambah Mistu lagi, keadaan tersebut pasti menyukarkan warga emas yang perlu mendapatkan bekalan air dari tempat lain kerana terpaksa menunggu lama lif yang beroperasi. - UTUSAN ONLINE