Setiausaha Agong Mapim, Zulhanis Zainol berkata, Presi­dennya, Mohd. Azmi Abd. Hamid berjaya menyuarakan isu penindasan etnik berkenaan dalam persidangan antarabangsa tersebut yang akan berakhir esok.

“Saya dimaklumkan oleh Presiden Mapim bahawa ini adalah usaha kecil beliau ke sana dan semoga dunia memberi perhatian serta mengambil berat tentang isu kekejaman yang melanda umat Islam Ro­hingya.

“Sedikit statistik daripada hasil perbincangan yang disuarakan di sana ialah mengenai pemerintahan Myanmar yang mahu membersihkan etnik Rohingya di Arakan. Kalau dahulu di Arakan ada lebih empat juta penduduk sejak 1948 namun sekarang hanya 600,000 orang sedangkan angka ini sepatutnya bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Food Flotilla for Myanmar di perkarangan Masjid Tabung Haji di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Mohd. Farid Hassan dan wa­kil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Sukarelawan Pertubuhan Maj­lis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas), Ansar Global dan Gabung­an Cakna Palestin.

Mereka berhimpun secara aman selepas menunaikan solat Jumaat bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kejayaan misi bantuan berkenaan walaupun berdepan pelbagai halangan dan rintang­an.

Food Flotilla for Myanmar yang digerakkan oleh Mapim dan KP1M belayar selama 20 hari mulai 3 Februari lalu untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.


Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Sementara itu, Timbalan Presiden KP1M, Datuk Mohd. Farid Hassan berkata, umat Islam perlu memberikan tekanan yang konsisten terhadap kekejaman kerajaan Myanmar ke atas etnik Ro­hingya.

“Kita tidak mahu isu ini terus senyap selepas misi bantuan selesai kerana kerajaan Myanmar mempunyai tempoh selama enam bulan bagi membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak lagi sewenang-wenangnya menindas etnik Rohingya.

“Kejayaan misi berkenaan juga hadir dengan sokongan jitu masyarakat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun bangsa dengan RM15 juta berjaya dikumpulkan untuk melaksanakannya,” katanya.