Siti Nur Maisara, 14, tergamam apabila Black atau nama sebenar­nya Hanifah Md. Hanafiah muncul bersama Timbalan Pengerusi Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad pada pukul 2 petang di kediamannya di Flat Seri Kedah, Taman Melati, di sini.Selain menghabiskan masa berbual dan bertanya mengenai kesihatan Siti Nur Maisara, dalam pertemuan singkat itu, penyanyi itu turut menghadiahkan cakera padat yang ditandatanganinya.

Sebelum beredar meninggalkan kediaman kanak-kanak itu, Black sempat mendendangkan dua buah lagu kegemaran Siti Nur Maisara, Takkan Terpisah dan Mana Mungkin.

Kisah Siti Nur Maisara yang juga menghidap penyakit kencing manis dan masalah penghadaman, telah disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Mac lalu.

Biarpun sudah mencecah usia remaja, keadaan tubuhnya yang lemah membuatkan dia tidak mampu menguruskan keperluan sendiri tanpa dibantu oleh orang lain, malah perlu mengambil 12 jenis ubat empat kali sehari.

Pergerakannya juga terbatas kerana saraf tangannya sudah mati dan perlu dipimpin untuk bergerak disebabkan keadaan paru-paru yang semakin kronik.

Bukan itu sahaja, masalah peng­hadaman yang dihadapi me­­nyebabkan Siti Nur Maisara bergantung sepenuhnya pada susu khas dan perutnya terpaksa ditebuk untuk dipasang tiub bagi menyalurkan susu kerana dia tidak boleh minum secara normal.

Ketika ditemui sebelum ini, dia meluahkan keinginan berjumpa pe­nyanyi pujaan ramai itu di sam­ping artis lelaki popular, Fattah Amin.

Black ketika ditemui berkata, dia berasa sangat terharu dengan ketabahan kanak-kanak itu dan ibunya yang terpaksa melalui saat-saat getir dalam hidup.

“Siti Nur Maisara betul-betul ada kekuatan dalaman dan saya sangat menghormati ibunya yang cekal mengharungi kehidupan sebegini sejak anaknya itu disahkan sakit pada umur empat bulan lagi.

“Walaupun hanya sekadar lawatan, hanya ini sumbangan kecil yang mampu saya lakukan memenuhi impiannya dan saya ada memberi kata-kata semangat kepadanya supaya cekal mengharungi cabaran.

“Pastinya saya terharu kerana mempunyai peminat sekecil ini dan saya gembira melihat Siti Nur Maisara begitu gembira sekali bertemu saya,” katanya.

Sementara itu, Othman yang juga Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan berkata, sumbangan itu diharap dapat memberi kegembiraan kepada Siti Nur Maisara dalam meneruskan kehidupan sehariannya.

“Bantuan yang diberikan atas sikap keprihatinan yang tinggi dan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang dialaminya.

“Walaupun tidak seberapa, saya percaya ia amat bermakna buat keluarga ini dan Yayasan Kumpulan Utusan akan terus komited dalam membantu go­long­an yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya selepas menyerahkan sumba­ngan kepada ibu Siti Nur Maisara, Fazilah Mohd Yusoff.

Fazilah yang juga ibu tunggal, me­ngucapkan terima kasih kepada Yayasan Kumpulan Utusan kerana sudi tampil memberikan sumbangan kepada anaknya.

Katanya, sumbangan itu amat membantu meringan beban yang terpaksa ditanggung memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.