Perasaan rindu kanak-kanak berkenaan terhadap bapa kandungnya itu membuak-buak yang kali terakhir ditemuinya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Apatah lagi dia baru berdepan situasi sukar apabila dirantai lehernya oleh bapa tirinya pada tong gas sehingga tidak sedarkan diri di dapur rumahnya Khamis lalu dipercayai kerana enggan ke sekolah.

Dalam pertemuan itu, bapa kandung kanak-kanak itu menyatakan kesediaan menjaganya.

Namun,  perkara itu hanya dapat ditentukan oleh mahkamah selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selesai membuat laporan.

Hasrat kanak-kanak berkenaan akhirnya tercapai apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuantan (MBKK) memutuskan hak jagaan sementara dirinya diserahkan kepada bapa kandung yang menetap di Melaka.

Selepas menempuh peristiwa yang disifatkan berlaku di luar batasan kemanusiaan, memang tidak menghairankan mengapa kanak-kanak berkenaan mahu meninggalkan rumahnya sekarang.

Tambah gembira apabila abang sulungnya yang berusia 16 tahun turut hadir di mahkamah bersama ayah kandung dan ibu tiri bagi membela nasibnya.

Keputusan mahkamah itu dilihat memberi sinar baharu dalam hidupnya yang sebelum ini pernah tinggal bersama bapanya ketika berusia tujuh tahun sebelum diambil semula ibunya.

Memetik kata-kata abang sulungnya, perasaan teruja dan tidak sabar adiknya untuk tinggal di Melaka bersama bapa kandung membuak-buak apatah lagi dia mungkin mendambakan layanan dan kasih sayang seorang insan bergelar ayah.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang mengikuti dengan rapat perkembangan kes berkenaan,  beliau gembira dengan keputusan mahkamah dan berharap semua pihak menerimanya dengan hati terbuka.

"Alhamdulilah hari ini mahkamah telah memberikan hak jagaan sementara kepada bapa kandung kanak-kanak tersebut.

"Saya berasa sungguh gembira dengan perintah tersebut dan saya harap kita semua dapat menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka sementara kita menunggu proses perundangan seterusnya," katanya kepada Utusan ONLINE.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah (Bahagian Kanak-Kanak) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Azmi Ibrahim berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dari pelbagai sudut dalam memberi cadangan kepada mahkamah untuk memutuskan hak penjagaan kekal ke atas kanak-kanak tersebut.

"Banyak faktor yang JKM akan ambil kira dalam siasatan untuk memastikan nasib kanak-kanak ini terbela.

"Siasatan lebih tertumpu kepada mangsa dan turut mengambil kira adik beradik lain iaitu dua abang mangsa yang berusia 16 dan 13 tahun," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri dengan lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota.

Ekoran kejadian itu yang tular di media sosial, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang anggota tentera ditahan reman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Walau apa pun keputusan mahkamah selepas ini, harapan kita semoga 'peluang kedua' yang diperoleh kanak-kanak tersebut untuk hidup bersama 'keluarga' yang dirinduinya dapat membuka lembaran baharu yang lebih bermakna dalam hidupnya.

Apa sahaja yang berlaku atau keputusan yang dibuat selepas ini, kebajikan masa depan kanak-kanak lelaki itu perlu diutamakan. - UTUSAN ONLINE