Video oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Aminah Awang Basar berkata, sebagai agensi yang ditubuhkan sejak 1956, DBP bukan sahaja mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi juga berperanan mengantarabangsakannya.

Jelasnya, setakat ini DBP tidak hanya fokus dalam memartabatkan bahasa Mela­yu di Malaysia tetapi bekerjasama dengan tiga agensi lain iaitu Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (Mabbim), Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) di pe­ringkat wilayah nusantara.

“Mabbim misalnya mengkhususkan melihat bahasa di­selaraskan dalam negara ASEAN terutama bidang ilmu manakala Mastera pula memastikan karya sastera diangkat berserta dengan bahasa Melayu.

“Oleh demikian, DBP bersedia dalam mengangkat bahasa Melayu dan bergabung tenaga antara pemerintah di wilayah nusantara dan institusi yang memperjuang bahasa Melayu bagi memastikan jati diri Melayu tidak hilang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menjadi ahlj panel dalam Pertemuan Dunia Melayu 2017 anjuran Gabu­ngan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini, hari ini.

Program selama lima hari yang dirasmikan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim itu turut mendapat kerjasama DBP, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand, Yayasan Pusat Islam Thailand (FICT) dan Universiti Kasem Bundit di sini.

Sementara itu, penganalisis sosiobudaya Singapura, Dr. Su­bari Sukaini menjelaskan, sebagai pejuang bahasa Melayu, beliau menyambut baik sekiranya terdapat mana-mana pihak bersedia menjalin hubungan kerjasama agar bahasa tersebut terus dimar­tabatkan.

Jelasnya, di Singapura, kerajaan negara itu sentiasa menyokong bahasa Melayu terus dimartabatkan walaupun jumlah penduduk berbangsa Melayu ha­nya 15 peratus.

“Walaupun peratusan penduduk hanya minoriti, tetapi bahasa Melayu tetap dimartabatkan dan dinaiktaraf dengan adanya agensi seperti Mabbim dan Mastera.

“Saya melihat peluang di Singapura wujud dengan adanya peranan dan sokongan negara dari wilayah serantau lain yang menggunakan bahasa Melayu. Malah, berharap masyarakat Melayu Si­ngapura dapat memartabatkannya dengan menjadikan sebagai rutin kehidupan harian mereka,” ujar­nya. – utusan