Sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berupa wang tunai sebanyak RM100 bagi setiap anak yatim itu disampaikan kepada penerima dari sekitar daerah Gombak dan Hulu Langat.

Pengerusi YIDE, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, sebanyak RM216,600 telah diperuntukkan bagi menyalurkan sumbangan tersebut kepada para penerima.

“Setiap sumbangan yang diberikan kepada anak yatim adalah hasil daripada sumbangan syarikat milik kerajaan (GLC), sektor swasta dan individu yang prihatin berkenaan kebajikan anak yatim ini,” katanya pada sidang akhbar majlis penyampaian sumbangan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YIDE, Datuk Setia Mohammad Adzib Mohd Isa, Timbalan Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dr. Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Bahtiar Husin dan Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Langat, To’ Engku Abdul Jalil Datuk Abdul Rani.

Dalam perkembangan lain, YIDE turut mencapai kata sepakat bersama Yayasan Al-Baghdadi dengan menandatangani memorandum persefahaman berkenaan Bengkel Hafazan Anak Yatim secara percuma kepada semua anak yatim yang berdaftar dengan YIDE.

“Dianggarkan RM125,000 nilai pembelajaran yang melibatkan alat bantu mengajar diperuntukkan kepada anak yatim seluruh negeri Selangor,” katanya. - UTUSAN ONLINE