Mendengarkan para pelajar tahfiz lelaki dan perempuan, semuda usia tujuh tahun berzikir, bertasbih dan menadah tangan memohon doa kepada Allah agar pemilik Restoran D’johan Delicacies beroleh keredaan dan kebahagian duniawi dan ukhrawi memecah keheningan malam selepas majlis berbuka puasa, pemilik dan pengusaha bersama restoran, pasangan Datuk Johan Datuk Wan Khairil Adli dan isteri, Datin Nirvana Jalil Ghani tersenyum bahagia.

Sepanjang bulan puasa, restoran makanan laut segar yang diimport dari Sabah yang terletak melalui Persiaran Saujana Impian bersebelahan dengan Surau Saujana Impian, Jalan Impian Jaya, Kajang beroperasi menerima pelanggan untuk berbuka puasa.

Pada Rabu lepas, Restoran D’Johan Delicacies dengan bantuan serta kerjasama Pengurus Pentadbiran, Mareepoosa Creative and Event, Kunor Ku Pengiran, menganjurkan majlis berbuka puasa dan meraikan 110 gabungan pelajar tahfiz dan anak-anak yatim serta asnaf.

Sudah menjadi amalan dan kelaziman di bulan Ramadan, pemilik Restoran D’Johan Delicacies tidak pernah lupa untuk berkongsi nikmat dan rezeki dengan anak-anak yatim, asnaf serta pelajar-pelajar tahfiz.

Kali ini, digabungkan sekali kehadiran para pelajar tahfiz seramai 80 orang dri Mahad Tahfiz Iqraq Al-Quran, Sungai Merab, Selangor dengan 30 orang anak-anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah Malaysia, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah penyanyi Ayu Damit (Ayu One In A Million) dan anak-anak yatim, asnaf serta para pelajar tahfiz turut mendapat sumbangan daripada beberapa orang individu yang bukan sahaja berhati mulia dan prihatin tetapi membuat amal jariah di bulan yang mulia ini.

Mereka turut menyumbang untuk bersama-sama menaja majlis berbuka puasa pada malam itu.

Mulai esok, pihak pengurusan Restoran D’johan Delicacies akan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri selama seminggu. - UTUSAN ONLINE