Namun melalui inisiatif Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, sebuah pasar yang menjual barangan terpakai se­perti peti ais, katil, kipas, pinggan mangkuk, televisyen, baju, beg dan kasut berjenama dengan harga 10 sen sahaja berjaya diwujudkan sejak dua tahun lalu.

Pengerusinya, Kuan Chee Heng berkata, pasar tersebut menerima sumbangan barangan terpakai daripada orang perseorangan selain turut bekerjasama dengan beberapa organisasi terpilih.

Katanya, harga 10 sen itu adalah simbolik kepada pembeli bahawa mereka tidak mendapatkan barangan itu secara percuma, sekali gus lebih menghargai sumbangan masyarakat Malaysia yang prihatin.

“Kita harap dengan pasar 10 sen ini, kita dapat bantu kurangkan masalah miskin bandar. Jadi, mereka tak perlu cari duit untuk beli barangan tersebut dan boleh fokus kepada perbelanjaan ke­perluan asas yang lebih penting,” katanya.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Beliau ditemui Mingguan Malaysia pada sesi pertama pasar itu tahun ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pembeli, Asyraf Salleh, 27, berkata, dia bersyukur kerana pasar 10 sen itu membolehkan dia mendapatkan seluar idamannya selama ini.

“Kalau di kedai, harga seluar jenama ini mencecah sehingga RM200. Walaupun bukan saiz saya tetapi saya tetap membe­linya, sebab bukan mudah untuk mendapatkan harga seperti ini,” katanya.

S. Danam, 59, pula menyarankan agar pasar seperti itu boleh dilakukan di kawasan PPR lain supaya ia dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan sepertinya untuk mendapat barangan keperluan dengan harga serendah 10 sen.

“Pasar ini tertumpu di kawasan Lembah Klang sahaja, kalau boleh ada orang perseorangan yang turut menganjurkannya di negeri-negeri lain agar inisiatif seperti ini dapat dikongsi bersama,” katanya.