Namun, situasi itu sebalikya boleh didapati di sekitar Lembah Klang apabila peti ais, katil, kipas, pinggan mangkuk, televisyen, baju, beg dan kasut berjenam dijual pada harga tersebut bagi membolehkan pembeli memiliki keprluan asas itu..

Barangan itu adalah antara 600 sumbangan orang ramai yang dikumpulkan Persatuan Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia bagi membolehkan golongan tidak berkemampuan memiliki barangan keperluan terpakai dengan harga terendah.

Pengerusinya, Kuan Chee Heng berkata, pasar tersebut yang sudah diwujudkan sejak dua tahun lalu bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki barangan keperluan terpakai pada harga 10 sen.

“Jadi kita harap dengan Pasar 10 sen ini, kita dapat bantu kurangkan masalah miskin bandar. Setidak-tidaknya kegiatan jenayah dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

“Kami mahu meringankan beban masyarakat miskin bandar. Jadi mereka tak perlu cari duit untuk beli barangan tersebut dan boleh fokus kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui pada sesi pertama pasar itu tahun ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai harga 10 sen yang ditawarkan, Chee Heng berkata, sebagai penghormatan kepada pembeli bahawa mereka tidak mendapatkan barangan itu secara percuma.

“Ramai tertanya-tanya kenapa hanya 10 sen? Kita sedia maklum golongan ini tidak mampu membeli barangan tersebut. Jadi kita mahu pembeli ingat dan menghargai pemberian masyarakat Malaysia yang prihatin,” 
katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Asyraf Salleh, 27, berkata, dia bersyukur dengan adanya pasar 10 sen seperti ini lantas dapat membeli seluar yang menjadi idamannya selama ini.

“Kalau dekat luar, harga seluar berjenama ini mencecah sehingga RM200. Walaupun bukan saiz saya tetapi saya tetap membelinya, sebab bukan mudah untuk mendapatkan harga seperti ini,” katanya.

Manakala, S.Danam, 59, yang menyarankan agar pasar seperti itu boleh dilakukan di kawasan PPR lain supaya dapat membantu golongan kurang berkemampuan sepertinya mendapat barangan keperluan serendah 10 sen.

“Pasar ini tertumpu di kawasan Lembah Klang sahaja, kalau boleh ada orang perseorangan yang boleh melakukannya di negeri-negeri lain agar inisietif seperti ini dapat dikongsi bersama,” katanya. - UTUSAN ONLINE