NADI
AYU DAMIT

Walaupun ketiga-tiga penyanyi wanita bersuara emas ini mempunyai komitmen lain dan masing-masing sibuk dengan jemputan persembahan namun apabila wakil sukarelawan yang menganjurkan Majlis Amal Makan Malam, ‘A Night of Hope’ anjuran National Diabetes Institute (NADI) memaklumkan tentang hasrat untuk menganjurkan sebuah majlis amal, pihak pengurusan ketiga-tiga artis memberikan persetujuan untuk membantu dalam bentuk persembahan.

Kurang lebih seminggu sahaja lagi, pada 21 April ini, akan berlangsung Majlis Amal Makan Malam, ‘A Night of Hope’ bertempat di Palace Of The Golden Horses (PGH), Seri Kembangan, dekat sini.

Sehubungan itu, satu majlis sidang akhbar telah diadakan baru-baru ini oleh pihak pengurusan PGH yang dihadiri oleh Pengurus Besarnya, Isaac Raj. PGH tampil untuk melakukan kerja amal (CSR) dengan bertindak sebagai penaja tempat atau venue untuk majlis yang dinaungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir pada majlis sidang akhbar ialah wakil dari NADI, Prof. Madya, Dr. Yazid Jalaluddin, penyanyi Ayu Damit dan wakil penaja, Hanan Signature.

Penganjuran majlis amal ini berjaya mengetuk pintu hati Pengerusi J&J Rochestra Sdn. Bhd., Datuk Seri Johari yang sudi tampil sebagai menjadi penaja utama bagi Majlis Amal Makan Malam, ‘A Night of Hope’ NADI.

Lain-lain penganjur yang terpanggil untuk sama-sama melakukan kerja amal bagi majlis amal itu berjalan lancar ialah Tropicana Corporation Berhad, Pharmaniaga Berhad dan Mary Jardin manakala laman portal Rentak Sejuta menawarkan diri untuk menjadi rakan media pada malam majlis tersebut.

Dr. Yazid berkata, majlis amal makan malam itu diadakan bukan semata-mata bertujuan untuk mengutip derma bagi mengisi tabung NADI untuk disalurkan kepada kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 dalam negara kita.

“Sebaliknya kita mahu menyampaikan mesej secara lebih menyeluruh kepada masyarakat di luar sana tentang kanak-kanak yang menghidap Diabetes Jenis 1 yang bilangnnya semakin meningkat dan memerlukan bantuan kewangan secara berterusan.

“Kanak-kanak ini dilahirkan dengan Diabetes Jenis 1 dan ia bukannya salah ibu bapa yang tidak mengawal kandungan gula yang diambil tetapi antibodi mereka rendah sejak dilahirkan. Kanak-kanak penghidap Diabetes Jenis 1 memerlukan suntikan insulin antara enam sehingga ke tujuh kali sehari.

“Maka itulah, kanak-kanak ini, jika tidak dibantu, jangka hayat mereka tidak panjang dan kos perubatan mereka pula semakin meningkat sehingga menyebabkan ibu bapa kanak-kanak ini tidak mampu untuk menampung kos perubatan,” jelasnya.

Walaupun NADI, sebuah badan yang tidak berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan (NGO) membantu semua mereka yang menghidap diabetes tetapi Majlis Amal Makan Malam, ‘A Night of Hope’ pada 21 April ini diadakan khusus untuk mengutip derma bagi mengisi tabung NADI yang mana hasil daripada kutipan derma termasuk menjual meja, disalurkan untuk kanak-kanak penghidap Diabetes Jenis 1.

Sementara itu, Isaac berkata, sebagai sebuah hotel berprestij yang telah banyak menjadi venua untuk acara bersejarah negara, PGH tidak menolak untuk sama-sama melakukan kerja amal seperti yang dilakukan oleh sukarelawan NADI.

Apabila didatangi oleh wakil sukarelawan, Kunor Ku Pengiran yang menyampaikan hasrat NADI untuk menganjurkan sebuah majlis amal makan malam yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak korporat, PGH tidak teragak-agak untuk menjadi penaja venue.

“Kita mempunyai dewan yang boleh memuatkan ramai dan untuk Majlis Amal Makan Malam, ‘A Night of Hope’ ini, kita buka dewan Royal Ballroom yang boleh memuatkan 500 orang walaupun sebenarnya ia mampu memuatkan lebih daripada itu.

“Bagi pihak pengurusan PGH, sememangnya kerja murni seperti ini untuk membantu kanak-kanak dalam negara kita yang menghidap diabetes, perlu disokong oleh semua pihak,” katanya.

Ayu Damit pula memberitahu, beliau gembira dan merasakan satu penghargaan bagi dirinya kerana dapat sama-sama menjayakan persembahan pada Majlis Amal Makan Malam, ‘A Nigt of Hope’ NADI.

“Peluang ini untuk saya melakukan amal jariah bagi membantu kanak-kanak yang menghidap diabetes kerana selama ini saya menyangka hanya orang dewasa sahaja yang mendapat kencing manis.

“Sekurang-kurangnya, saya bersama Nurul Depp dan Liza Hanim dapat menyumbangkan sesuatu pada malam 21 April, hari Sabtu pada pukul 8 malam. Kita berhibur sambil menderma,” katanya. - UTUSAN ONLINE