Pengarah Eksekutif Kumpulan Yayasan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesan berkata, sumbangan itu bertujuan untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar etnik tersebut untuk terus berusaha meningkatkan tahap akademik mereka.

“Sumbangan ini bagi meraikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik selari dengan usaha Utusan untuk meningkatkan tahap pendidikan dan sosial anak-anak Rohingya ini.

“Kami bukan sahaja memberi sumbangan dana tetapi juga kelengkapan lain yang diperlukan oleh mereka seperti songkok, tudung dan sebagainya,” katanya selepas majlis memberi sumbangan tersebut di sekolah ber­kenaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan Malaysian Relief Agency (MRA), Fauziah Tahar; Penolong Pengurus Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Iskandar Sani Melan; Pengetua Sekolah Komuniti Rohingya, Wan Nor Alia Wan Ahmad Hifni dan guru Sekolah Komuniti Rohingya, Hamidullah Dudumya.

Sementara itu, Wan Nor Alia berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka atas bantuan Utusan yang mampu membuka mata banyak pihak mengenai etnik itu di negara ini.

“Saya bersyukur dengan bantuan Utusan yang merupakan salah satu media arus perdana terbesar di negara ini. Setidak-tidaknya ia dapat menjadi pencetus supaya pihak lain juga peka sekali gus memperluaskan lagi isu ini di mata masyarakat umum,” katanya.

Hamidullah yang juga etnik Rohingya menzahirkan rasa terharu apabila ada pihak tampil membantu anak-anak yang sedang berdepan krisis kemanusiaan ini.

“Anak-anak ini gembira kerana kejayaan mereka diraikan dan berharap banyak pihak menghulurkan bantuan supaya mereka mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain dan mampu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sekolah Komuniti Rohingya ditubuhkan pada 2009 dengan jumlah pelajar terkini seramai 63 orang dan mereka pelajari subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, Matematik, bahasa Rohingya dan bahasa Myanmar.