Lebih memilukan, apabila Nur Afrina Zahra Mohd. Effandi turut dikesan menghidap penyakit lain seperti kelewatan perkembangan global (GDD) dan kelenjar tiroid sehingga tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak lain seusianya.

Menurut ibunya, Nur Nadiah Md. Esa, 27, sejak anaknya berumur tiga bulan hingga dua tahun, dia telah menjalani dua pembedahan besar melibatkan jantungnya dan sepatutnya perlu menjalani pembedahan ketiga baru-baru ini, namun terpaksa dibatalkan kerana mempunyai risiko sangat tinggi.

"Ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Januari lalu, doktor maklumkan pada kami pembedahan ketiga untuk Afrina tidak dapat dibuat sampai bila-bila kerana berisiko membawa maut.

"Disebabkan itu, ketika keluar hospital pada Selasa lalu doktor meminta kami menyediakan sebuah mesin oksigen bagi keperluan Afrina. Sejak itu dia perlu bergantung kepada bekalan oksigen hampir setiap masa," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya di rumahnya di Presint 11 di sini hari ini.

Nur Nadiah berkata, berikutan itu dia dan suaminya, Mohd. Effandi Mohd. Nasir, 36, yang bertugas sebagai penjawat awam di sini perlu menyediakan pelbagai keperluan khas untuk anak sulung daripada dua beradik itu.

"Afrina tidak boleh makan nasi sebab boleh memberi kesan kepada jantungnya jadi doktor cadangkan supaya dia diberikan susu khas selain itu, dia juga perlu dibekalkan dengan bekalan oksigen sepanjang masa serta lampin pakai buang.

"Buat masa sekarang perbelanjaan untuk barang-barang keperluan Afrina bergantung sepenuhnya daripada suami dan sedikit duit yang saya peroleh menerusi meniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih dan dan kek di rumah tanpa bantuan pihak lain," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahaman berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut terutamanya dalam menyediakan barang keperluan yang diperlukan Afrina.

Sementara itu, bagi orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan, sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 164409512956 (Mohd. Effandi Mohd. Nasir) atau hubungi talian 017-2531275. - UTUSAN ONLINE