Lebih-lebih lagi apabila Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bersama Utusan Online sudi merealisasikannya, Nur Samawati atau lebih mesra dengan panggilan Kak Long benar-benar teruja.

"Segala persiapan telah dibuat. Baju pun sudah digosok dan dikemaskan. Kak Long kini cuma tunggu masa untuk bertolak ke Kuala Lumpur sahaja.

"Kak Long juga akan war-warkan kepada kawan-kawan di Facebook yang ada di Kuala Lumpur tentang kedatangan Kak Long. Mana tahu dengan izin Allah, Kak Long ada rezeki untuk bertemu mereka," ujarnya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Kak Long yang meminati penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza berhasrat mahu meluangkan masa dan bergambar sepuas-puasnya di Petrosains, Aquaria serta di hadapan KLCC.

"Pertama kali Kak Long melihat KLCC adalah di kaca televisyen sewaktu berusia 13 tahun. Waktu itu Kak Long berdoa, alangkah bagusnya jika Kak Long benar-benar boleh sampai ke sana.

"Namun tiada siapa sangka tentang aturan Allah. Walaupun terpaksa menunggu lama, Allah makbulkan jua hasrat itu," ujarnya kini yang terus aktif menjalankan perniagaan kicap pekat dan sos cili Mahmudah milik keluarganya secara atas talian.

Perjalanan Kak Long ke Kuala Lumpur diiringi unit Utusan Online dan satu majlis meraikan ketibaan Kak Long akan diadakan di Utusan Malaysia, esok sebelum PDB membawa Kak Long bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE