Menurut Nor Hatiah kos pembedahan yang menelan belanja hampir RM40,000 amat membebankan, apatah lagi beliau hanya bekerja sendiri menjual kuih dengan pendapatan harian yang tidak menentu.

Menurutnya lagi, penyakit yang dihadapi oleh Nur Ain Natasya sejak lahir itu semakin bertambah serius sejak dua tahun kebelakangan ini sehinggakan kondisi anaknya semakin hari semakin lemah serta sering muntah-muntah dan sakit kepala sehingga menjejaskan persekolahannya.

Walaupun ada pihak yang menghulurkan bantuan seperti pihak zakat dan baitulmal namun ia masih tidak mencukupi kerana anaknya terpaksa menjalani pemeriksaan susulan pada setiap minggu.

“Saya benar-benar berharap agar ada pihak yang sudi membantu dan menghulurkan bantuan untuk kos rawatan Nur Ain.

“Menurut kata doktor saya kena sediakan wang secukupnya sebelum Julai ini untuk buat pembedahan kerana jika lambat mungkin akan bertambah teruk dan kronik.

“Sekarang ni pun saya dah rasa tak sanggup lagi lihat penderitaan yang ditanggungnya,” katanya.

Nur Ain Natasya yang kini menuntut di tingkatan empat SMK Datuk Lokman, Kampung Pandan berkata, penyakit yang dihadapinya sekarang ini sedikit sebanyak merencatkan

aktiviti pembelajarannya di sekolah.

Dia mengakui kesan penyakitnya menjadikan dia semakin lemah, rambut gugur dan penglihatan yang semakin kabur dan tidak jelas.

“Saya mohon agar rakyat Malaysia yang prihatin dapat membantu saya. Saya bukan berasal dari keluarga senang, kos perubatan sekarang ni pun banyak dibantu oleh

pihak sekolah dan derma daripada mereka yang prihatin.

“Saya benar-benar impikan kehidupan yang sihat seperti pelajar-pelajar lain,” katanya.

Pengarah Biro Pendidikan, Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Pelajar Malaysia (YPKPM) Nur Eqlima Abdullah Samuri, menyeru orang ramai termasuk badan-badan korporat dan individu supaya tampil memberikan bantuan kepada Nur Ain Natasya supaya pembedahan dapat dijalankan dengan segera.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh memberikan sumbangan melalui nombor akaun : 1223-9001-0026-993 (Alliance Bank). Atas nama, Tabung Yayasan Brain AWN Nur Ain Natasya. - UTUSAN ONLINE