Video oleh ZAAIN ZAIN

Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) negeri, Rahayu Ahmad berkata, susulan pendedahan tersebut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak mengambil lima beradik berkenaan untuk ditempatkan di rumah perlindungan di Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan wanita itu dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing semalam, namun dia dibebaskan selepas prosedur selesai.

"Ekoran itu, pasukan kami cuba mengesan wanita tersebut di rumahnya hari ini namun gagal. Jirannya memberitahu wanita itu tidak pulang ke rumah malam tadi.

"Kita sudah periksa seluruh bahagian untuk mendapatkan bukti sama ada rumah tersebut memang dijadikan 'port' kegiatan menagih dadah, namun agak sukar mengesahkannya kerana seluruh tempat ditimbuni sampah sarap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan lima anak wanita itu yang berusia sembilan bulan serta enam, sembilan, 11 dan 13 tahun bukan sahaja tidak terurus, malah tidak bersekolah selain tinggal dalam timbunan sampah kerana diabaikan ibu mereka.