Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika guru agama berkenaan, Sobri Arsyad, membacakan beberapa ayat suci sebelum beberapa lelaki dipercayai dari pondok gerakan parti itu yang terletak kira-kira 100 meter dari masjid itu meluru masuk dan menghamburkan kata-kata kesat.

Insiden berkenaan tular di media sosial sejak malam termasuk rakaman video daripada suasana kecoh itu yang kemudian dileraikan dengan kehadiran pihak polis.

Sementara itu tinjauan Utusan Online ke kawasan masjid berkenaan mendapati suasana kembali tenang hari ini.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian Sobri membacakan dan mentafsirkan kepada kariah masjid yang hadir Surah Attaubah ayat 23 sebelum terhenti apabila diserang sekumpulan lelaki itu.

“Ustaz Sobri hanya membacakan ayat tersebut tanpa mengaitkan ia dengan sesiapa. Kebanyakan daripada kami terpingga-pingga akibat tindakan pihak itu,” katanya di sini hari ini.

Sobri dalam pada itu turut tampil secara live dalam laman Facebook hari ini menjelaskan bahawa beliau kesal dengan tindakan pihak berkenaan yang mengakibatkan kuliah tafsir tersebut terpaksa dibatalkan malam tadi.

“Mereka masuk mengungkapkan kata yang begitu lantang sehingga menganggu kuliah. Berlakulah ketegangan sehingga majlis ilmu terpaksa dihentikan. Tuduhan mereka yang saya ingat bahawa mereka menuduh saya mengatakan mereka kafir sedangkan saya tidak tuduh tuan-tuan, pun kafir. Mereka mungkin salah faham terhadap ulasan dan tafsiran saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE