Pengusaha Restoran Pondok Kebaboom, Siti Nor Farah Abdul Darawi, 35, berkata, idea menaja program itu datangnya daripada suami, Kamaruzaman Hussin, 39, yang merupakan bekas murid sekolah itu.

Beliau berkata, mereka terdorong untuk membantu memandangkan majoriti murid sekolah berkenaan dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

"Kebetulan juga anak sulung dan anak kedua saya yang berusia 12 tahun dan tujuh tahun turut bersekolah di sini yang tahu kedaifan hidup sesetengah rakan mereka.

"Kami merasa bertanggungjawab untuk menyumbang supaya dapat memberi motivasi dan keceriaan lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

"Kita membawa enam orang tukang gunting rambut profesional dari sebuah kedai tersohor di Pasir Tumboh untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada anak-anak ini," katanya ketika ditemui di program Jom Gunting Rambut Raya di sekolah itu, di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar, Mohd Hilmi Ismail berkata, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti Ihya Ramadan anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

"Selain daripada gunting rambut percuma, pihak sekolah juga membawa 34 murid-murid golongan asnaf membeli sepasang pakaian raya lengkap hasil daripada sumbangan para penyumbang zakat berjumlah RM3,400," katanya.

Jelasnya, beliau sentiasa mengalu-alukan bantuan pelbagai pihak dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi pengurusan sekolah di talian 097652926. - UTUSAN ONLINE