Presiden Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, GACC adalah platform bagi pencinta catur berkumpul dan berkongsi pengetahuan mereka.
Katanya, GACC juga merupakan sebuah kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Catur Dunia (FIDE) dengan memberikan pengiktirafan gelaran seperti Grand Master (GM), International Master (IM) dan Fide Master (FM).

“Saya berbangga kerana UM bukan sahaja menjadi tuan rumah malah berjaya menganjurkan pertandingan ini yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara universiti.
“Selain itu, peserta dari luar negara turut berpeluang melawat destinasi pelancongan terkenal di negara ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Kejohanan Catur GACC Ke-21 di UM hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Datuk Dr. Rohana Yusof dan Ketua Penerangan MCF, Danesh Raj Nagarajan.

Tambah Zahidi, catur dapat membantu perkembangan minda peserta dengan strategi dan teknik-teknik yang digunakan untuk menang dan kerana itu permainan catur harus dimartabatkan setaraf dengan sukan yang lain.

Sebanyak 450 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula semalam dan bakal berakhir pada 24 Januari ini melibatkan kategori tempatan dan antarabangsa.

“Kejohanan yang turut mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan ini menampilkan pelbagai hadiah termasuk RM1,500 untuk juara kategori individu dan RM1,000 bagi naib juara serta RM500 bagi tempat ketiga.

“Hadiah bagi kategori berpasukan pula menampilkan wang tunai sebanyak RM4,000 berserta trofi sumbangan Royal Selangor dan juga pingat,” katanya