Noor Halimaton Hashim
Noor Halimaton Hashim

Penderitaan adik Muhammad Hazreel yang dimuat naik ke laman sosial Facebook milik Nur Fitri Damia pernah tular kerana ramai kanak-kanak yang senasib dengan Muhammad Hazreel memerlukan bantuan kewangan bagi peralatan rawatan sokongan yang menjangkau lebih RM5,000 sebulan.

Noor Halimaton ketika dihubungi wartawan Utusan Online hari ini berkata, ketika melahirkan Muhammad Hazreel enam tahun yang lalu, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini dilahirkan normal dengan berat 2.9 kilogram, cuma tumit kakinya luka.

“Dari situ, Hazreel dimasukkan ke wad NICU dan semasa dalam inkubator, keadaannya semakin teruk kerana kulit-kulitnya menggelembong dan apabila gelembong-gelembong itu pecah, ia menjadi luka-luka dan saya tidak boleh nak membayangkan keadaan dia sewaktu itu,” kata Noor Halimaton yang bekerja di salah sebuah hotel di Johor Bahru, Johor.

Menurut Noor Halimaton, doktor yang merawat Muhammad Hazreel memintanya bersabar dan menjalankan kajian apakah jenis penyakit yang menimpa anak kecil itu dan akhirnya doktor mengesahkan, ia berpunca daripada genetik.

Kata Noor Halimaton, sama ada dia atau suaminya adalah pembawa EB, ia sukar untuk dipastikan oleh pakar perubatan kerana EB berkaitan dengan faktor keturunan.

“Melihatkan keadaan Muhammad Hazreel yang menghidap EB, saya terpaksa kuatkan semangat. Kulitnya menggelembong seperti kena minyak panas dan gelembong itu mesti dipecahkan segera untuk mengelakkannya daripada menjadi besar.

“Apabila gelembong itu pecah, akan keluar air bisa yang lutsinar. Tapi adakalanya jika gelembong itu mengandungi darah, dipecahkan akan keluar air kekuning-kuningan kerana ia bercampur dengan nanah dan kulit,” kata Noor Halimaton.

Penderitaan Muhammad Hazreel Mikhail dilahirkan dengan EB.
Penderitaan Muhammad Hazreel Mikhail dilahirkan dengan EB.

Noor Halimaton menambah, keadaan Muhmmad Hazreel sejak dilahirkan sehingga ke hari ini membuatkan tubuhnya agak kecil berbanding dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Beliau berkata, walaupun keadaan anaknya tidak sama seperti kanak-kanak lain namun Muhammad Hazreel tetap ke sekolah tadika dan di sekolah, rakan-rakannya baik terhadapnya.

“Di situ saya bersyukur pada Allah kerana kawan-kawan dia di sekolah memahami..maklumlah kanak-kanak. Cikgu di sekolah tadika pun mengawsai Muhammad Hazreel.

“Setiap hari, luka-luka di anggota tubuh Muhammad Hazreel perlu dicuci dan setiap kali cuci, dia pasti akan menangis kerana kesakitan dan pedih. Bagi saya untuk mencuci luka-lukanya perlu dilakukan dengan lemah lembut.

“Mencuci luka dilakukan sekali sehari kerana kos untuk menggantikan kain balutan (bandage) dan sebagainya agak tinggi kerana Muhammad Hazreel menggunakan empat jenis bandage yang berbeza saiz,’’ jelasnya.

Untuk luka di tangan, kata Noor Halimaton, bandage kecil bersaiz 4.5 sentimeter digunapakai, di kaki, bandage bersaiz 5 atau 7 sentimeter pula untuk menutup bahagian kaki dan paling besar saiz bandage 15 sentimeter adalah bagi bahagian badan Muhammad Hazreel.

Badan Muhammad Hazreel Mikhail dipenuhi dengan luka-luka yang membuatkan kanak-kanak ini menangis ke
Badan Muhammad Hazreel Mikhail dipenuhi dengan luka-luka yang membuatkan kanak-kanak ini menangis ke

Kata Noor Halimaton lagi, sebelum ditutup dengan bandage bahagian-bahagian luka, perlu dilapik dengan bandage gauze (kain kasa) dan bandage jaring (bactigress) selain daripada disapu krim yang dibekalkan oleh hospital.

“Bandage bactigrees ini agak mahal harganya kerana ia mengandungi ubat anti-bakteria untuk mencegah daripada jangkitan kuman atau virus pada luka-luka.

“Maka itulah, kos membeli bandage sahaja mencecah RM5,340 sebulan dan saya mengharapkan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan kos peralatan sokongan anak saya,” katanya.

Bagi para dermawan yang ingin menyumbang untuk meringankan kewangan Noor Halimaton, bolehlah menghulurkan bantuan dengan memasukkan ke akaun Public Bank, nombor akaun 4525811409 atau boleh hubungi Noor Halimaton di talian 01127532324. - UTUSAN ONLINE