Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, bot dinaiki pelarian itu ditemukan pada pukul 9.10 pagi di kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Nyior Setali.

“Bot tersebut ditemukan oleh aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan Polis Marin yang ditugaskan membuat rondaan bersama sejak semalam.

“Di dalam bot tersebut terdapat 19 lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak perempuan dan lapan kanak-kanak lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin agensi berita antarabangsa, AFP melaporkan, sebuah bot membawa berpuluh-puluh pelarian Rohingya yang menuju ke Malaysia berhenti seketika di wilayah Krabi, barat Thailand ekoran cuaca buruk.

Gabenor Krabi, Kitibodee Pravitra mengesahkan penumpang bot tersebut merupakan etnik Rohingya tetapi tidak mengetahui dari mana mereka datang dan mereka kemudiannya dibenarkan meneruskan perjalanan setelah disoal siasat.

Mengulas lanjut Rozali berkata, pihaknya memberi bantuan awal dengan memberikan mereka makan, minum serta bantuan perubatan diperlukan.

“Bot tersebut diiringi ke Jeti Kuala Kedah bagi diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya. - UTUSAN ONLINE