Bagi Muhammad Allif Ibrahim, 25, yang sebelum ini merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), kerja kebajikan dan sukarela mampu memberikan kepuasan buatnya.

Bagi tujuan itu, beliau dan beberapa rakannya mengambil inisiatif mewujudkan kelas al-Quran secara percuma untuk golongan tidak berkemampuan seperti asnaf dan miskin di Taman al-Quran di sini.

Taman al-Quran
Kanak-kanak yang belajar di sini tidak dikenakan sebarang yuran. - UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK AID

"Kekangan ruang bangunan untuk mengadakan kelas al-Quran mendorong saya mengubah bas lama menjadi pusat pengajian yang ditempatkan di atas sebidang tanah pajak di sini.

"Idea mengubah suai bas yang sudah tidak digunakan timbul ketika saya bersama 12 rakan yang lain berbincang cara membuka pusat mengajar al-Quran yang boleh diperbesarkan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai Taman al-Quran, Muhammad Alliff berkata, bas yang ditempatkan di Taman Sri Rembau dekat sini mampu menampung sejumlah 30 pelajar dalam satu masa.

Pada masa ini terdapat dua buah bas yang menjadi tempat untuk mengaji.

Taman al-Quran
Idea menggunakan bas sebagai lokasi mengajar al-Quran adalah sebagai alternatif supaya masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang menghantar anak belajar di sini. - UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK AID

Pada awalnya, mereka mahu menggunakan kabin atau kontena untuk dijadikan pusat pengajian namun masalah yang mungkin timbul jika perlu berpindah ke tapak lain menyebabkan mereka mengubah fikiran.

"Kelas swasta kurang sambutan disebabkan masalah yuran, jadi kami mahu menyediakan alternatif supaya masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang menghantar anak belajar al-Quran di sini.

"Jika mampu, mereka boleh bayar yuran yang akan menampung kos operasi termasuk upah guru. Jika tidak mampu, tiada bayaran dikenakan malah kami yang akan berusaha sediakan insentif terutama bagi menampung kos pengangkutan ibu bapa yang menghantar anak-anak," katanya.

Muhammad Allif berkata, bas terbabit diubah suai dengan pemasangan lantai baharu, kertas dinding, penebat haba serta dilengkapi pendingin hawa dan kipas selain meja dan kerusi, bagi mewujudkan suasana selesa.

Beliau memberitahu, sumbangan ikhlas daripada orang ramai menjadi sumber utama kewangan bagi meneruskan aktiviti pengajian di taman tersebut.

"Seramai tiga orang guru termasuk saya ditugaskan untuk mengajar pelajar di sini dengan menumpukan pendidikan al-Quran, mengenal huruf, iqra', tajwid dan kelancaran bacaan.

"Mereka yang datang ke sini berumur lingkungan empat hingga 17 tahun dan ada antara mereka merupakan anak murid saya ketika menjadi guru dahulu," katanya.

APA KATA PELAJAR

"SAYA mula belajar bersama Taman al-Quran sejak tiga tahun lalu ketika dibuat di rumah sewa ustaz. Alhamdulillah saya sekarang sudah lancar membaca al-Quran dan akan meneruskan pengajian sehingga khatam." - SYAMIMI UMAIRAH ROZAIMI, 12

"SEKARANG saya sudah sampai juzuk 11 dan ustaz banyak membimbing saya ketika mengaji. Saya berharap dapat khatam sebelum masuk tingkatan satu nanti." - KHAYRA UMAIRAH AKMAL AZRIN, 11. - UTUSAN ONLINE