Kehadiran anak gajah yang dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Piah dan terpisah daripada ibunya itu disedari orang ramai pada pukul 8 pagi setelah dilihat berkeliaran tanpa tujuan.

Seorang penduduk, Fadzil Pahim, 51, berkata, kehadiran gajah itu disedari abang iparnya setelah melihat kelibat haiwan tersebut yang ‘berteduh’ di bawah pokok pisang di belakang rumah semalam.

Katanya, haiwan itu kemudian dilihat menuju ke kawasan Pekan Lintang pagi ini sehingga kehadirannya mengejutkan orang ramai yang berada di kawasan berhampiran.

“Apabila menyedari anak gajah itu berkelia­ran di kawasan pekan, orang kampung cuba mengepung supaya ma­suk ke kawasan Balai Polis Lintang namun haiwan itu lari sehingga melanggar pintu pagar SK Lintang.

“Hampir 50 penduduk kampung sama-sama membantu mengejar haiwan itu namun gagal sebelum anak gajah tersebut melarikan diri ke kawasan ladang sawit dan berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Ja­batan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ne­geri, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, anak gajah dengan anggaran berat 200 kilogram dan bersaiz tapak kaki 18 senti­meter itu berjaya ditangkap pada pukul 10 pagi.

Katanya, anak gajah yang dinamakan Yeop Lintang itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Piah dan memasuki kawasan pekan.

“Aduan mengenai gajah tersebut diterima pada pukul 8 pagi dari Balai Polis Lintang. Sepa­sukan anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) UTG dan Perhilitan Sungai Siput ke tempat kejadian dan mendapati terdapat anak gajah sedang berkeliaran.

“Operasi tangkapan dilancarkan dengan menggunakan ubat pelali. Haiwan itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut beliau, haiwan tersebut yang kini ditempatkan sementara di Pejabat Perhilitan Sungai Siput tidak agresif, namun kepenatan dan telah diberi minum susu.

Katanya, pihaknya akan meng­hubungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Temerloh, Pahang bagi urusan memindahkan anak gajah itu ke pusat berkenaan selewat-lewatnya esok.

“Anak gajah ini tidak mengganggu penduduk dan tanaman namun disebabkan panik dan takut melihat kehadiran orang ramai, haiwan itu cuba melarikan diri sehingga hampir masuk ke kawasan sekolah dan balai polis,” katanya.