Tinjauan Utusan Online mendapati ramai ibu bapa memilih jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai lokasi pilihan untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

Malah ada ibu bapa yang sanggup mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata untuk membeli barangan persekolahan anak-anak kerana tidak mahi bersesak-sesak pada cuti hujung minggu.

Menurut Azhari Kamaruzzaman, 54, sebagai pengguna dia perlu bijak membuat pilihan ketika membeli barangan persekolahan bagi mendapatkan harga yang murah namun berkualiti.

“Memang setiap tahun saya akan berkunjung ke Jalan TAR untuk membeli barangan keperluan anak saya, sebab harganya murah di samping kualiti barangan sekolah yang dijual juga tahan lama.

“Saya sanggup bercuti hari ini semata-mata untuk menemani anak saya untuk membeli barangan keperluannya, jika kami sekeluarga pergi pada waktu hujung minggu pastinya keadaan sibuk dan jalan sesak,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang perubahan harga tahun ini berbanding tahun lepas, namun ibu bapa perlu berhati-hati dengan tawaran istemewa peniaga memandangkan terdapat kes peniaga yang menjual barangan sekolah tiruan.

Suri rumah, Laili Tabii, 40, berkata dia berkunjung ke dua atau tiga pasar raya untuk meninjau harga pakaian seragam dan peralatan sekolah sebelum membuat pilihan.

Katanya, ini adalah kali pertama dia membeli barangan persekolahan anaknya, justeru dia perlu berhati-hati dan bijak membuat perbandingan harga antara setiap kedai.

“Saya pergi dua atau tiga kedai, baru nampak perbezaan. Harga biasanya mengikut kualiti dan jenama, namun ada juga kedai jual jenama sama tetapi harga berbeza antara RM1 hingga RM5.

“Untuk seorang anak, saya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM200 untuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan kelengkapan sekolah. Saya terpaksa mengikut bajet yang diperuntukkan,” katanya.

Tinjauan di beberapa pasar raya di sini turut mendapati ada antara peniaga bukan sahaja membuat promosi serta diskaun jualan pakaian seragam dan peralatan sekolah antara 10 hingga 15 peratus, malah menawarkan barangan percuma bagi menarik pelanggan.

Manakala Nor Hayat Mohd Nordin, 46, walaupun harga barangan naik, namun dia akan cuba sedaya upaya berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan.

“Saya lebih mementingkan kualiti ketika membeli pakaian anak-anak, kerana saya mahu pakaian tersebut dapat tahan lama. Kadang-kadang jenama mahal pun tak tahan lama,” katanya yang sanggup ambil cuti pada hari bekerja semata-mata mahu membeli barangan sekolah anak-anaknya. - UTUSAN ONLINE