Gadis berusia 33 tahun itu yang mendapat perhatian ramai selepas Utusan Online menyiarkan video kegigihannya menjalani kehidupan seharian berhasrat mempunyai perniagaan sendiri bagi meringankan beban keluar­ganya.

Justeru, Nur Salmawati yang mesra disapa Kak Long mendambakan tunjuk ajar daripada pihak yang baik hati untuk berkongsi ilmu serta selok-belok perniagaan.

“Kak Long tak tahu nak buat perniagaan apa. Kalau ada insan yang baik hati mahu mengajar, saya terima dengan hati terbuka.

“Walaupun tak pernah pergi ke­ sekolah, tapi Kak Long pandai menulis dan membaca kerana belajar daripada buku sekolah adik-adik,” katanya.

Kisah Nur Salawati yang menggunakan lidahnya untuk aktiviti seharian terutamanya berkomunikasi di media sosial seperti Facebook telah menarik perhatian netizen.

Video kehidupan dan kegigihannya membantu perniagaan ibunya, Saudah Shaari yang mula disiarkan Facebook Utusan Online sejak semalam sudah ditonton le­bih 620,000 pelayar.

Rata-rata pelayar menyatakan rasa kagum dengan kegigihan Nur Salmawati dan berharap impian gadis berasal dari Pendang, Kedah itu untuk melihat perniagaan sos dan kicap milik ibunya berjaya termakbul.

Dalam pada itu, Nur Salmawati turut menzahirkan keinginannya untuk datang ke ibu kota menyaksikan sendiri kehebatan Menara Berkembar Petronas.

Walaupun cacat dan kurang upaya, namun Nur Salmawati bersyukur apabila rakan-rakannya se­ring memberi sokongan kepadanya sehingga me­nubuhkan kumpulan WhatsApp Kak Long Forever, selain mempunyai 6,400 rakan di Facebook.