Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar ketika ditemui baru-baru ini berkata, seramai 40 orang pelajar tahfiz dari Rantau Panjang, Klang, Selangor diraikan dalam majlis berbuka puasa.

“Ini merupakan acara tahunan pihak kami dan selain daripada majlis berbuka puasa, solat Maghrib dan tarawih, pihak pengurusan Plaza Shah Alam juga menyerahkan sedikit sumbangan kepada anak-anak tahfiz ini.

“Dengan sumbangan yang diberikan, kita bukan sahaja mencari keredhaan tetapi sekurang-kurangnya, dapat menggembirkan para pelajar tahfiz ini dalam menyambut Hari Lebaran,” katanya kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui di sini, Khamis lepas.

Selain daripada majlis berbuka puasa bersama para pelajar tahfiz, pihak pengurusan Plaza Shah Alam turut mengadakan acara hiburan ringan di mana para pengunjung yang berkunjung ke situ untuk membeli persiapan Hari Raya, dihiburkan oleh Achey.

Lawak spontan yang dipersembahkan oleh Achey dan disulami dengan nyanyian lagu raya memeriahkan lagi suasana Plaza Shah Alam yang merupakan pusat sehenti bagi komuniti Shah Alam untuk membeli-belah. - UTUSAN ONLINE