Atas dasar keperihatinan dan kemanusiaan, pelbagai sumbangan telah disalurkan kepada etnik Rohingya malah kerajaan juga menyumbangkan RM10 juta untuk membina infrastruktur, pendidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup di Rakhine.

Pada Februari lalu, misi bantuan kemanusiaan, Food Flotilla for Myanmar yang membawa 2,300 tan bekalan makanan ter­masuk ubat-ubatan untuk membantu etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh telah berjaya dilaksanakan.

Bagi melaksanakan bantuan berterusan kepada etnik Ro­hingya yang sehingga kini masih ditindas, Universiti Utara Malaysia (UUM) bekerjasama dengan Kumpulan Utusan dan kerajaan negeri bagi menjayakan Misi Antarabangsa Rohingya.

Program yang dikendalikan Kolej Undang-undang, kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis) itu bagi menyalurkan sum­bangan berterusan kepada etnik minoriti Islam tersebut yang kini berhadapan dengan penghapusan kaum di wilayah Rak­hine, Myanmar.

Pengarah Projek berkenaan, Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, penganjuran program tersebut merupakan tanggungjawab sosial warga UUM khususnya Colgis untuk membantu meri­ngankan penderitaan yang dialami etnik minoriti Islam Rohingya yang dizalami di negara sendiri.

Menurutnya, pihaknya menjalin kerjasama dengan Kumpulan Utusan dan kerajaan negeri bagi memastikan projek amal dan kemanusiaan kepada etnik Islam Rohingya mencapai kejayaan.

“Kira-kira 60 mahasiswa da­ripada 10 persatuan di bawah Colgis terlibat dalam menjayakan Misi Antarabangsa Ro­hingya UUM Colgis-Utusan yang berlangsung tiga bulan ini.

“Yang unik mengenai program ini, pelajar antarabangsa dari Indonesia dan Algeria turut bersama mahasiswa Malaysia untuk menjayakan projek amal ini.

“Saya berharap, penglibatan mahasiswa dalam program ini dapat memupuk sifat keperihatinan mereka terhadap nasib yang menimpa etnik Islam Rohingya di samping mewujudkan kesedaran ingin membantu mereka berada dalam kesulitan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Dekan Pengajian Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani bagi menjayakan misi tersebut.

Majlis Pelancaran Misi Antarabangsa Rohingya UUM Colgis-Utusan tersebut disempurnakan oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Norsabrina Mohd. Noor di Pasar Raya Besar Tesco, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UUM, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Mashitah berkata, kutipan terkumpul yang diperoleh Misi Antarabangsa Rohingya UUM Colgis-Utusan yang turut mendapat sumbangan Yayasan Minda itu akan disalurkan kepada Tabung Rohingya kendalian Kumpulan Utusan.

Sementara itu, Penyelaras Tabung Rohingya, Nurul Atikah Mahfoz berkata, mahasiswa yang menyertai program tersebut akan bergilir-gilir untuk mendapatkan sumbangan warga UUM dengan membawa lapan tabung Misi Antarabangsa Rohingya UUM Colgis-Utusan ke kelas dan fakulti masing-masing.

“Walaupun program ini diadakan hampir dengan minggu peperiksaan, namun saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam Misi Antarabangsa Rohingya teruja untuk menjayakan projek amal ini.

“Program kemanusian ini sama sekali tidak mengganggu pelajaran. Inilah sumbangan dan tanda keperihatinan kami kepada etnik Rohingya,” kata­nya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menggesa rakyat Malaysia khususnya penduduk di negeri ini dapat mengetepikan perbezaan ideologi dan politik dalam merealisasikan usaha kemanusiaan tersebut.

“Sudah menjadi kewajipan kita untuk menyokong inisiatif ma­na-mana pihak bagi meri­ngankan penderitaan saudara kita di sana.

“Tersentuh apabila dimaklumkan oleh UUM Colgis mengenai penganjuran program ini, saya meminta pejabat Menteri Besar mendapatkan kerjasama jabatan kerajaan negeri untuk memberi bantuan bagi memastikan program ini mencapai sasaran.

“Saya berharap rakyat Kedah merealisasikan usaha kemanusiaan tersebut. Sama-samalah kita buktikan keikhlasan dalam membantu penduduk Rohingya dengan menyumbang kepada tabung ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Mustafa berkata, pihaknya me­nyasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 menerusi Misi Antarabangsa Rohingya yang dilancarkan hari ini dengan kerjasama Kumpulan Utusan dan kerajaan negeri.

“Pihak UUM tidak meletakkan sasaran namun kita berharap dapat mengumpul sebanyak mungkin sumbangan orang ramai dari seluruh negeri ini bagi memastikan bantuan berterusan dapat diberikan kepada etnik Rohingya.

“Namun menerusi kerjasama diberikan kerajaan negeri, kita berharap dapat mengumpul sebanyak RM500,000 dalam tempoh tiga bulan ini.

“Selain menyasarkan sumbangan warga UUM, kita juga berharap akan mendapat sumbangan anak-anak syarikat berkaitan kerajaan negeri, pihak swasta dan orang ramai,” kata­nya.