Namun hakikatnya, kampung berkenaan merupakan antara pe­nempatan terawal masyarakat Mandailing yang datang ke Ta­nah Melayu, sewaktu era perang kerajaan di wilayah Indonesia terhadap sistem ditadbir oleh Belanda.

Bersempena dengan program pemukiman kerajaan negeri di daerah Muallim baru-baru ini, satu Festival Mandailing telah dianjurkan dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perak bersama Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) di kampung tersebut.

Festival berkenaan yang julung kalinya dianjurkan dengan penglibatan kerajaan negeri, memanifestasi usaha ke arah melestari adat, kesenian, tradisi dan bahasa masyarakat Mandailing di Malaysia, khususnya di Perak.

Biarpun pengisian festival itu berlangsung dalam tempoh singkat, namun ia padat dengan pengi­sian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang hadir me­rasmikannya, disambut dengan paluan gondang dua iaitu dua gendang kesenian suku kaum Mandailing yang masih dipertahankan sejak ratusan tahun.

Keunikan kebudayaan Mandailing dapat disaksikan ketika Zambry diberikan selimut adat dalam upacara ‘mangulosi’ atau ‘mangalehen ulos’ sebagai tanda kehangatan kasih sayang dan penghargaan tinggi daripada pi­hak tuan rumah.

Upacara unik itu dimulakan de­ngan pembawaan ‘ulos pang­onjapi andora’ (selimut penutup dada) yang diletakkan di atas tangan Presiden Imami, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan kemudian berjalan terus ke arah Zambry sambil melakukan tarian khusus.

‘Ulos’ berkenaan diselimutkan ke badan Zambry oleh Ahmad Tamimi bersama-sama Ke­tua Kampung Sungai Bil, Roslan Abdul Kahar serta dibantu oleh Setiausaha Agung Imami Pusat, Ramli Abdul Karim Hasibuan.

Ramli berkata, mengikut adat Mandailing, selain diberikan se­bagai tanda penghormatan, ‘ulos’ juga dijadikan selendang me­nerima ‘boru’ (menantu pe­rem­puan) serta dipakai dalam upa­cara ‘manortor’ (menari) raja-raja da­lam majlis adat, ‘tortor’ (ta­rian) ‘namora-mora’ (ketua adat dan mertua) dan ‘anakni namora’ (anak-anak kepada mertua).

Beliau berkata, ia juga juga digunakan secara adat dalam ‘par­taganan’ (bekas untuk acara adat termasuk tepak sirih) dan penutup ‘pangupa’ (hidangan seekor ayam dijadikan hadiah pemberi semangat rohaniah).

Pada festival tersebut, Zambry turut meluangkan masa melawat pameran sejarah penghijrahan masyarakat Mandailing dari Tapanuli Selatan, Sumatera Utara ke Perak dan Semenanjung Tanah Melayu bermula seawal kurun ke-18 dan 19, di bawah kelolaan Lembaga Muzium Negeri Perak.

Turut dipamerkan ialah sejarah penempatan masyarakat Mandailing di Kampung Sungai Bil yang dibuka pada 1909 oleh seorang ulama bernama Tuan Guru Sheikh Abdul Qosim yang berasal dari tanah Mandailing di Sumatera Utara.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Rusnah Kassim.

Zambry dan te­tamu kehormat ke­­mudian dibawa menyaksikan dan merasai makanan tra­disional masyarakat Mandai­ling seperti ‘gule bulung gadung na iduda’ (gulai pucuk ubi tumbuk) yang sa­ngat sinonim dengan su­ku kaum tersebut.

Gulai tersebut menjadi lauk kemestian pada majlis kenduri-kendara dan begitu popular se­­hingga kini dalam kalangan masyarakat Mandailing.

Sejenis lagi hidangan yang signifikan kerana mempunyai kaitan dengan adat Mandailing ialah kuih ‘sipulut marinti’ (pulut berinti).

Kuih pulut putih berinti kelapa parut yang dimasak dengan gula Melaka itu lazimnya dihidangkan sebagai makanan pemanis dalam setiap majlis keramaian, sebelum hidangan utama disajikan.

Ramli yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, ‘sipulut marinti’ juga dihidangkan kepada pasangan pengantin dan tetamu sebagai asbab doa untuk ‘manga­lokoti’ (melekatkan) hubung­an kedua-dua mempelai serta hubungan antara tuan rumah dan tetamu.

Hidangan lain yang turut disajikan terma­suklah kuih ‘puting-puting’ (campuran pisang emas, pulut, kelapa parut, gula putih dan gula me­rah), ‘itak poul’ (tepung uli) mentah dan kukus, ‘ombus-ombus’ dan ‘toge’.

Atur cara majlis kemudian diteruskan di bawah kendalian Ramli yang menerangkan tentang upacara persan­dingan pengantin mengikut adat tradisi dalam bahasa Mandailing sepenuhnya.

Sepanjang upacara itu, istiadat tersebut diiringi dengan paluan ‘gordang sambilan’ (gendang sembilan) iaitu gendang ke­senian Mandailing yang membiaskan alunan ter­sendiri diiringi tiupan seruling dan ‘onang-onang’ (penceritaan da­lam bahasa Mandailing secara bersyair).

Serentak itu, pe­ngan­tin melalui adat ‘upa-upa’ iaitu sejenis hadiah penguat ‘tondi’ (sema­ngat) berupa hidangan seekor ayam direndang kering atau dibakar di atas pulut kuning atau nasi, bersama-sama telur ayam rebus, gula dan garam, yang mana ke­semuanya membawa maksud su­atu doa supaya kedua-dua mempelai teguh semangatnya dalam melalui alam perkahwinan selain diharap memperoleh zuriat.

Berbeza dengan tarian adat suku lain, tarian ‘tortor’ Mandailing mementingkan kehalusan pada gerak jari-jemari.

Kedua-dua telapak tangan mi­salnya, diangkat selari ke atas dan ke bawah secara perlahan sebagai simbolik raja-raja tersebut mena­ungi rakyat di bawah jajahannya.

Seorang pengunjung, Ba­zir Padzil Othman Pulungan, 59, me­ngakui teruja apabila didedahkan dengan adat persan­dingan Mandai­ling yang sebenarnya.

“Saya amat kagum dengan gerak tari ‘tortor’ yang kelihatan agak mudah untuk ditarikan biarpun seseorang itu pertama kali mencubanya,” katanya.

Bagi Nurmah Mahiram Batubara, 61, dia berbangga apabila festival tersebut mengangkat keunikan budaya dan tradisi makanan masyarakat Mandailing sekali gus menjadi medan perkumpulan suku kaum tersebut dari seluruh negara.

Seorang lagi pe­ngunjung, Mastura Mustafa Hasi­buan, 23, pula berharap festival seum­pama itu dapat diteruskan pada setiap tahun untuk diraikan bersa­ma ge­ne­rasi mu­da agar adat dan tradisi Mandailing ti­dak hilang ditelan zaman.

“Walaupun saya orang Man­dai­ling, saya tidak tahu budaya dan adat tradisi, makanan dan perkahwinan yang ada ke­rana kurang pendedahan. Jadi, ba­nyak yang saya pelajari dan boleh diperkembangkan daripada pe­nganjuran festival ini,” katanya.