Antara program yang menjadi tradisi UMT ialah bantuan pakaian raya yang kali ini membawakan kegembiraan kepada 121 penerima terdiri daripada golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memilih sendiri di sebuah butik di  pasar raya di sini.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Kelab Wanita (Mutiara) yang dinamakan Kasih Ramadan itu, diadakan sempena Majlis Iftar Perdana di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, semalam.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar memberitahu, pendekatan aktiviti seperti ini amat digalakkan agar kewujudan universiti turut dirasai oleh komuniti setempat di samping dapat memberi sinar kepada golongan kurang bernasib baik.

"Kami di UMT sememangnya sentiasa memberi sokongan penuh terhadap program seperti ini," ujarnya selepas penyampaian sumbangan itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Presiden Kelab Mutiara, Prof. Madya Noraida Ali berkata, program sumbangan itu bertujuan untuk meringankan sedikit bebanan perbelanjaan anggota keluarga pada musim perayaan.

"Kami berkolaborasi dengan beberapa kelab lain bagi mengumpul dana dalam usaha memberikan sinar kegembiraan kepada golongan sasar," katanya.

Bagi Presiden MPP, Razyiaton Raghazli pula, Majlis Iftar Perdana yang diadakan itu bukan  sahaja ruang untuk memberi bantuan kepada golongan miskin tetapi juga merupakan medium bagi pemimpin masyarakat untuk mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk setempat.

"Melalui program ini, pemimpin dapat mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan masyarakat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka," ujarnya. - UTUSAN ONLINE