Dengan sumbangan berkenaan, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pastinya lebih bermakna buat warga Tanah Merah apabila ma­sing-masing mendapat sepasang baju raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha berkata, sumbangan baju raya itu adalah cetusan idea Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin membantu meringankan beban kewangan masyarakat di situ dalam membuat persiapan raya.

Katanya, agihan berkenaan akan dibuat sehingga 9 Julai ini iaitu bersamaan 10 Ramadan hingga 15 Syawal.

“Penerima khususnya yang berada di luar Kelantan tidak perlu bimbang kerana kita akan melaksanakan agihan sehingga 15 Sya­wal bagi membolehkan mereka me­ngambil baju raya masing-masing.

“Kita mengalu-alukan semua pe­nerima supaya memohon mela­lui Ketua Cawangan UMNO masing-masing bagi mengelak masalah ke­sesakan ketika pengagihan dibuat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Bakri berkata, sumbangan baju raya itu akan diagihkan kepada pengundi di Tanah Merah tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

“Untuk yang beragama Islam, kita mengagihkan baju Melayu bagi lelaki manakala wanita pula kita memberi peluang kepada mereka untuk memilih sama ada baju kurung atau jubah.

“Bagi para pengundi bukan Islam pula, masing-masing akan di­­berikan baju kemeja linen bagi lelaki manakala wanita pula kain untuk dibuat pakaian mengikut citarasa mereka,” katanya.

Sementara itu seorang penerima, Abdul Manaf Che Ngoh, 62, berkata, tiada apa yang dapat diucapkan selain bersyukur dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Tanah Merah yang telah banyak membantu rak­yat di kawasan berkenaan.

“Pastinya saya amat gembira kerana bukan sahaja saya, malah isteri dan anak juga menerima sumbangan baju raya ini.

“Dengan sumbangan ini me­ringankan beban saya kerana kami tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membeli baju raya tahun ini. Kami cukup bertuah kerana menjadi warga Tanah Merah,” katanya.