Pengerusi UDA, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, program ‘Jom Sekolah’ yang merupakan sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA itu adalah yang pertama kali diadakan oleh pihaknya dalam usaha membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak.

Menurutnya, program pertama yang dilancarkan hari ini me­nyaksikan seramai 115 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 2 menerima sumbangan set peralatan persekolahan berserta baucar bernilai RM50 bagi membeli kelengkapan sekolah lain.

“Program ini bertujuan memupuk semangat menimba ilmu dalam kalangan murid selain membantu meringankan beban keluarga semasa membuat persiapan bagi sesi persekolahan ini,” katanya dalam sidang akhbar program ‘Jom Sekolah’ di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings Berhad, Datuk Ahmad Abu Bakar.

Menurutnya, program tersebut akan diteruskan esok dengan sesi lawatan ke 10 sekolah di kawasan Wangsa Maju yang akan melibatkan pengagihan 2,000 set alat tulis kepada murid terpilih.

Sekolah-sekolah itu ialah SK Danau Kota, SK Desa Setapak, SK Setapak Indah, SK Taman Melati, SK Wangsa Jaya Seksyen 4, SK Wangsa Maju Seksyen 1, SK Wangsa Maju Seksyen 2, SK Wangsa Melawati, SJKC Mun Yee dan SJKC Nan Yik ‘Lee Rubber’.

“Pihak kami berharap program ini dapat menyemarakkan lagi semangat murid untuk ke sekolah dan sekali gus membantu hasrat kerajaan memenuhi ke­perluan pendidikan masyarakat serta melahirkan modal insan cemerlang seiring dengan aspirasi negara,” katanya.

Seramai 115 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2 bertuah kerana terpilih untuk menerima set peralatan persekolahan berserta baucer bernilai RM50 bagi membeli kelengkapan persekolahan.

Menerusi Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Jom Sekolah’ yang dianjurkan atas kerjasama UDA Holdings Berhad dan Yayasan Wangsa Perdana