Sama ada yang direbus atau dijadikan pelbagai jenis kuih-muih, ia menjadi hidangan santai yang lebih menyelerakan apabila dilengkapkan dengan sajian kopi atau teh panas, yang dinikmati bersama keluarga, rakan-rakan atau tetamu.

Justeru harga pelbagai jenis ubi termasuk ubi kayu, ubi keling, ubi badak dan ubi itik yang mencapai tempoh matang untuk tuaian di hujung tahun melonjak musim ini.

Bagi penduduk di Kampung Pinang, Kampung Raja dekat sini, beberapa jenis ubi dan pulut menjadi menu istimewa untuk dihidangkan kepada tetamu sempena kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini.

Rohani bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa berkunjung ke Masjid Kampung Pinang untuk menemui mangsa banjir yang ditempatkan di masjid tersebut yang dijadikan sebagai pusat perpindahan.

Bagi peminat ubi, mereka memilih untuk memakan ubi rebus berbanding makanan lain yang dipadankan dengan kelapa muda parut yang digaul bersama sedikit garam dan gula bagi menambah keenakannya. - UTUSAN ONLINE