Perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh Mohd. Zulhairi itu pada mulanya di muat naik ke laman Facebook Bandar Baru Bangi Community pada 3 Mac lalu sebelum ia menjadi tular dalam kalangan netizen media sosial.

Menurut Mohd. Zulhairi, selain golongan kurang berkemampuan yang menjadi sasaran utama beliau mewujudkan perkhidmatan van jenazah secara percuma itu, ia juga boleh digunakan oleh mereka yang memerlukannya.

"Jika ada berlaku kematian, mereka yang tidak mampu untuk menguruskan jenazah boleh menghubungi saya, insyaAllah akan saya uruskan jenazah berkenaan dari hospital ke rumah atau ke tanah perkuburan.

"Selain mereka yang tidak mampu, waris yang berkemampuan dan ingin menggunakan khidmat van jenazah ini juga boleh menghubungi saya, dan mereka hanya perlu mengisi petrol dan membayar tol sahaja.

"Malah kit jenazah lengkap turut saya sediakan," kata Mohd. Zulhairi pada laman Facebook berkenaan.

Kata beliau lagi, perkhidmatan van jenazah percuma ini dijangkakan akan beroperasi sepenuhnya minggu hadapan.

Selain itu beliau juga berkata, van jenazah tersebut adalah sumbangan dari pengikut Facebook beliau dan juga sebahagian daripada warga Bandar Baru Bangi yang mengenali beliau.

"Semoga dengan adanya perkhidmatan van jenazah secara percuma dapatlah saya membantu mereka yang memerlukan. Van ni adalah sumbangan dari seluruh followers (pengikut) Facebook saya... dan sebahagian lagi disumbangkan oleh warga Bandar Baru Bangi yang mengenali saya.

Sehingga berita ini ditulis, status yang dimuat naik oleh Mohd. Zulhairi telah menerima 3,082 perkongsian dengan 7,700 likes dan 128 komen yang rata-rata menyokong penuh usaha yang dilakukannya itu. 

Mohd. Zulhairi yang turut melakukan pelbagai kerja-kerja amal dan kebajikan sebelum ini boleh dihubungi di 012-2493378. - UTUSAN ONLINE