Semuanya bermula apabila pertubuhan itu dimaklumkan mengenai kewujudan keluarga berkenaan menerusi borang permohonan bantuan yang dikemukakan keluarga tersebut beberapa hari lalu.

Pengurus pertubuhan berkenaan, Asiah Abdullah berkata, pihaknya segera bertindak dengan menemubual keluarga itu selain membuat lawatan ke stor yang dijadikan tempat tinggal mereka.

Katanya, stor berkenaan dihuni oleh Shahdi Abdullah, 43, isteri, Farizah Ibrahim, 41, bersama-sama lima anak mereka yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

"Saya difahamkan Shahdi telah lapan bulan hilang pekerjaan sebagai pemandu lori dan isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa. Kini dia (Shahdi) membantu rakan menjual burger di kawasan berhampiran kediaman mereka.

"Sekarang, keluarga berkenaan perlu membayar sewa stor berkenaan sebanyak RM200 sebulan. Sebelum ini, mereka menyewa rumah di Puchong, namun dihalau kerana tidak mampu membayar sewa," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Asiah, pihaknya turut memberi bantuan berupa katil, peti ais, beberapa biji tilam selain barangan dapur untuk keluarga berkenaan.

Sehingga semalam, katanya, keluarga berkenaan dibenarkan mengambil makanan berbuka puasa di pejabat persatuan setiap hari yang berada tidak jauh dari tempat tinggal mereka.

Bagaimanapun, sesiapa yang ingin membantu keluarga ini, sila hubungi di talian 017-3535 085 (Ustaz Dino) atau 017-3505 681 (pejabat Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur).

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam di nombor 14171010007586. - UTUSAN ONLINE