Yang Dipertua Pelitawanis Kebangsaan TNB, Datin Seri Noor Afizah Ahmad Noor berkata, sumbangan kali pertama yang dilaksanakan pihaknya itu adalah selaras dengan aspirasi syarikat untuk mendekati golongan yang memerlukan.

“Hari ini, Pelitawanis telah menyumbang kepada 60 penjaga pesakit di Wad Pediatrik Zon 1 dan 2 serta Unit Rawatan Rapi Jantung Kanak-kanak serta 75 penghuni Better Brighter Dormitory selama lima hari.

“Ia adalah selaras dengan aspirasi syarikat untuk mendekati dan menyumbang kembali kepada masyarakat dengan berkongsi sebahagian daripada keuntungan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa dan sahur kepada penjaga dan pesakit di Wad Dormitori IJN di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Pelitawanis Kebangsaan TNB Cawangan Ibu pejabat, Datin Ungku Ashiela Ungku Hamzah dan Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr. Aishah Ong.

Tambah beliau, bermula tahun lalu, TNB menaja usaha menerusi program Better Brighter Dormitory IJN Foundation - Tenaga Nasional sebanyak hampir RM1.4 juta bagi tempoh lima tahun sehingga 2021.

“Sumbangan yang diberikan ini sekali gus menjadi antara aktiviti nilai tambah kepada penghuni dormitori tajaan TNB di institusi perubatan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE