Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Baderul Sham Saad berkata, langkah itu wajar dijadikan amalan kerana memberi manfaat kepada pengguna terlibat.

“Selain itu mereka juga harus menjadi mata dan telinga kepada TNB dengan melaporkan sebarang kegiatan cubaan khi­anat terhadap aset-aset TNB,” kata­nya pada Program Mini Bersama Komuniti di Desa Paya Mengkuang, dekat sini hari ini.

Program sehari yang melibatkan kira-kira 150 penduduk itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar.

Menurutnya, program tersebut merupakan edisi kelima selepas Batu Pahat, Muar, Pasir Gudang dan Kluang.

Baderul Sham berkata, menerusi program itu beberapa acara telah diadakan termasuk sesi dialog dan sukaneka yang bertujuan mengeratkan hubu­ngan dengan masyarakat se­tempat.

“Kita turut mengadakan pa­me­ran yang menerangkan pe­ranan dan hala tuju selain memperkenalkan produk-pro­duk baharu TNB, antaranya kita perkenalkan laman mytnb.com.my yang boleh dimuat naik menerusi telefon bimbit, iaitu para pengguna boleh mengetahui bil terperinci dan membuat bayaran bil elektrik,” katanya.

Beliau berkata, apa yang membanggakan respons yang ditunjukkan oleh penduduk kampung terhadap program tersebut amat baik apabila mereka turut memberikan beberapa cadangan dan pandangan bagi membolehkan organisasi tersebut menaik taraf perkhidmatan yang diberikan.

Sementara itu, Zaini memberitahu, sejak enam tahun lalu, TNB berjaya menyelesaikan dan memulihkan gangguan bekalan elektrik kurang daripada tiga jam.

“Saya juga gembira dengan langkah yang diambil oleh sektor korporat khususnya TNB yang turun padang dengan me­ngadakan lawatan ke kampung-kampung dan kaedah ini berjaya menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat,” katanya.