Pengurus Besar Negeri TM Melaka, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata, program tahunan sempena Ramadan anjuran pihaknya itu bermatlamat untuk memberi keceriaan dan rasa dihargai kepada kumpulan diraikan.

"Saya berharap majlis ini turut membolehkan kita mengambil pengajaran daripada ibadah yang dilakukan sepanjang bulan mulia ini serta merapatkan hubungan antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain anak yatim dan golongan memerlukan, majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada jemaah masjid yang kemudian turut menunaikan solat Magrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.

Kesemua anak yatim tersebut merupakan pelajar dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Daerah Jasin, Institusi Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz dan Pusat Bimbingan Al-Islah yang turut menerima sumbangan hari raya daripada pihak TM Melaka.

Selain itu, TM turut menyampaikan sumbangan zakat perniagaan kepada lima orang mualaf, empat fisabilillah serta beberapa buah madrasah terdiri daripada Madrasah Tahfiz Dar Muqarrabin, Pondok Darul Muttaqin, Maahad Tahfiz dan Qiraat Ulu Melaka Pindah, Pusat Tahfiz As Solihin dan Madrasah Al-Muqarrabin dan Anak-anak Yatim Balik Bukit. - UTUSAN ONLINE