Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, tiga beradik yang berumur antara lapan hingga 11 tahun dikatakan keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa selepas dilarang bermain di luar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Barudin Wariso berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu ditemukan kira-kira pukul 11.10 malam selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan setengah jam selepas mereka dilaporkan hilang.

“Operasi itu membabitkan 120 orang yang terdiri daripada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat.

“Pencarian dilakukan di seluruh kawasan perumahan tersebut termasuk kawasan semak selama tiga jam sebelum menemukan tiga beradik tersebut yang bersembunyi dalam longkang berhampiran rumah mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.