Ini berikutan kemalangan yang meragut nyawa kedua ibu bapa mereka di Kilometer 155, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Su­ngai Bakap kira-kira 5.45 petang 28 April lalu.

Lebih menyedihkan bagi Khairiyah Alissya apabila tidak lagi dapat memakai baju raya sedondon de­ngan bapa, Khosim Ismail, 35, dan ibunya, Khairunnisa Ahmad Kamaluddin, 29, seperti kebiasaannya.

“Baju raya kami pada tahun ini sudah tidak sama. Saya pun mungkin beraya di hospital sebab kaki masih belum sembuh sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Dia ditemui bersama datuk, Ismail Cha, 57, dan nenek, Ashah Ariffin,­ 53, selepas kunjungan Ketua Pemuda UMNO Jelutong, Jasmin Noordin yang turut menyampaikan sumbangan wang raya dan hamper.

Kedua-dua kaki Khairiyah Alissya patah dan melecur teruk dan kini menunggu masa sesuai untuk meneruskan rawatan lanjut terhadap kaki kiri.

Khaira Amni yang baru sahaja belajar berjalan terpaksa dipotong kesemua jari kaki kanannya kerana berubah warna hitam selepas kemalangan tersebut.

Sementara itu Ashah berkata, keluarganya masih belum membuat sebarang persiapan menyambut Aidilfitri kerana mereka perlu menjaga dua beradik berkenaan di hospital sejak dua bulan lalu.

“Allahyarham Khosim pernah berpesan dengan adiknya, Hanisah, 22, seminggu sebelum kejadian iaitu jika dia tiada nanti jagalah anak-anaknya dengan baik,” ceritanya sugul.

Pada 29 April lalu, dua beradik itu kehilangan kedua ibu bapa sekelip mata selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila kereta dipandu mereka dirempuh sebuah lori.