Katanya, meskipun derita harus ditanggung setiap hari kerana sel kansernya itu semakin merebak dia tetap mahu terus menjalani rawatan penyakit berkenaan yang dimulakan sejak dua tahun lalu.

“Saya terpaksa meneruskan hidup ini demi anak-anak dan suami, walaupun sakit ini hanya Allah yang tahu, namun saya terpaksa tempuhi juga.

“Tiga kali saya menjalani pembedahan di rahang kanan, tetapi keadaan masih tidak berubah, malah kanser itu semakin menye­rang dan membesar,” kata Zarina ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurutnya, dia menderita akibat penyakit kanser itu sejak lima tahun lalu yang bermula dengan benjolan kecil di bawah rahang kanannya.

“Benjolan itu semakin lama semakin membesar dan saya terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling, tetapi kesnya itu terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Sejak itu, saya terpaksa melakukan tiga kali pembedahan bermula pada 2014, dan doktor terpaksa membuang tulang rahangnya ke­rana bimbang kanser itu akan menjangkiti otak,” katanya.

Katanya, dia kini semakin bimbang apabila terdapat pula satu benjolan yang baharu di sebelah rahang kirinya sejak enam bulan lepas menyebabkan dia semakin sukar untuk menelan makanan.

Suaminya, Abdullah Ahmad, 49, berkata, dia amat risau de­ngan keadaan isterinya yang semakin lemah dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan seperti suri rumah lain.

“Pendapatan saya tidak seberapa, hanya RM800 sahaja sebulan, tetapi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih apabila terpaksa membawanya ke HSAH,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh me­nyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank 2-00-5151-00015886-0 atas nama Abdullah Ahmad atau hubungi mereka di talian 019-5072796.