Aluai Mustafa, 52, berkata, dia bersama isteri serta empat anak­nya tinggal di pasar berkenaan sejak Ahad lalu.

“Hampir sebulan juga saya dan keluarga tinggal di dalam sebuah bangsal selepas kejadian tersebut berlaku. Hendak bina rumah baharu, perlukan banyak wang dan saya tidak mampu kerana pendapatan sebagai penoreh getah cukup untuk keperluan harian sahaja.

“Jadi kami memilih untuk hidup begini sebelum ada pihak yang datang menghulurkan sumbangan,” katanya di sini hari ini.

Aluai memberitahu, mereka sekeluarga terpaksa tinggal dalam bangsal yang tidak berdinding serta tidak mempunyai kemudahan asas bagi meneruskan kehidupan sejak sebulan lalu.

Katanya, semasa kejadian berlaku rumah pusaka yang berusia lebih 18 tahun itu roboh tiba-tiba namun ketika itu mereka sekeluarga berada di luar.

“Disebabkan kejadian itu, isteri dan anak-anaknya terpaksa me­numpang di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Uban selama hampir seminggu sehinggalah pusat tersebut ditutup.

“Kawasan rumah kami sering dinaiki air setiap kali hujan lebat kerana berada berhampiran de­ngan Danau Tok Uban. Walaupun sering ditenggelami air namun kami tidak menyangka rumah itu akan roboh.

“Sehingga sekarang kami masih terkejut kerana itu sahaja tempat yang kami ada untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.