Sebelum ini, kisah kesusahan hidup surirumah Saadiah, 63, yang terpaksa berhimpit-himpit mendiami sebuah rumah papan yang usang bersama 13 ahli keluarga termasuk menantu serta cucunya.

Rumah papan didiami mereka sekeluarga itu berusia lebih 30 tahun rosak dikatakan amat daif apabila rosak teruk di bahagian dapur, bilik dan ruang tamu selain bumbung yang bocor serta papan lantai reput.

Saadiah berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersetuju membantu membina kediaman yang lebih selesa untuk mereka sekeluarga.

"Selama ini kami terpaksa tidur berhimpit kerana rumah ini hanya mempunyai satu bilik dan apabila hujan tidur malam sering terganggu kerana bumbung rumah yang bocor.

“Alhamdulillah sekarang banyak pihak tampil memberi bantuan. Ada juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan," katanya.

Saadiah ditemui ketika menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, di sini hari ini.

Dalam majlis itu. Saadiah menerima barang keperluan, wang tunai dan hamper yang disampaikan oleh isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Zubaidah Abdul Hamid.

Yang turut hadir, Ketua Jajahan Tanah dan Ukur Kota Bharu, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Saadiah dalam pada itu berkata, dia bersyukur kerana atas kesudian serta keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan sekaligus meringankan beban mereka sekeluarga. - UTUSAN ONLINE