Tindakan tersebut mungkin pelik atau kedengaran mustahil, namun itulah yang terpaksa dilakukan seorang ibu tunggal dari Kampung Razali di sini bagi menghilangkan kesakitan berikutan masalah buah pinggang yang menyebabkannya hilang segala deria rasa.

Nor Akhzah Ghazali, 31, berkata, dia mengalami masalah tersebut sejak lahir dan mula menanggung kesakitan ketika berusia 13 tahun.

“Sakit yang tidak terhingga memaksa saya menelan air panas mendidih bagi mengurangkan kesakitan.

“Sebelum ini, saya masih mampu berjalan walaupun doktor melarang dengan menasihatkan saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun saya hanya mampu mengengsot,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif di rumahnya, di sini baru-baru ini.

Kunjungan Shafik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura itu merupakan rutin beliau dalam menyelami kesusahan masyarakat seterusnya menyalurkan bantuan berdasarkan keperluan.

Dalam pada itu, Nor Akhzah berkata, walaupun menderita sakit, dia tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawab membawa ibunya, Limah Ibrahim, 71, yang juga merupakan pesakit kronik melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Katanya, dalam kepayahan, dia memandu kereta untuk menghantar ibunya yang menderita sakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu.

“Saya hanya boleh memandu dan menunggu di dalam kereta kira-kira empat jam emak mencuci darah di HTAA.

“Apabila orang tanya siapa jaga siapa, saya hanya tersenyum tetapi boleh dikatakan urusan rumah seperti memasak diuruskan emak walaupun sakit,” katanya.

Katanya, dia juga risau ke­adaan anak tunggal perem­puannya yang berusia lapan tahun terpaksa ke sekolah berjalan kaki sejauh satu kilometer apabila setiap kali dia dan emaknya dirawat serentak di hospital.

“Di rumah kami hanya berempat termasuk abang yang juga tidak sihat kerana sering diserang demam panas.

“Hanya mengharapkan abang membantu menguruskan pakai­an dan beberapa keperluan anak jika saya dan emak serentak ma­suk hospital,” katanya.